My Add

Sunday 26 February 2012

Ternakan ayam serama mampu jana pendapatan lumayan

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA, SABTU, 25 Februari, 2012: Ternakan ayam serama akan dikembangkan kepada penduduk luar bandar kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan ekoran harga seekor ayam tersebut boleh mencecah sehingga RM30,000 seekor.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, ayam serama Malaysia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, England, Belgium, Korea Selatan, Filipina dan Asia Barat.

“Di China sebagai contoh, permintaan terhadap ayam serama dari Malaysia amat tinggi kerana ia menjadi hidangan sup yang harganya mencecah sehingga RM100 semangkuk.

“Melihat kepada permintaan yang tinggi, kementerian berpendapat sudah tiba masanya masyarakat luar bandar mengusahakan ternakan ayam serama untuk komersial dan bukan lagi sebagai hobi,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan Seni Warisan Ayam Serama 1Malaysia anjuran Persekutuan Ayam Serama Sedunia Malaysia (PASSM) di Taman Serama Sedunia, Durian Tunggal di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat PASSM, Tengku Mohamad ibni Sultan Yahya Petra.

Seramai 300 peserta dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Melaka mengambil bahagian pada pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu.

Hasan yang juga Penaung PASSM berkata, keunikan ayam serama Malaysia adalah kerana saiznya yang terkecil di dunia, jinak, warna yang cantik dan bergaya.

Beliau menambah, harga ayam serama boleh meningkat tinggi tetapi bergantung kepada saiz, warna, keadaan ekor, kepak, balung dan perwatakannya.

“Kalau ayam serama bukan dari jenis baka yang baik, paling rendah pun harganya ialah RM500 seekor,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain Hasan berkata, PASSM dengan kerjasama Persekutuan Serama Sedunia yang berpangkalan di AS akan menganjurkan pertandingan Festival Serama Sedunia di Kuala Lumpur Oktober ini. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment