My Add

Sunday 26 February 2012

Bapa terkejut terbeli susu tepung tiruan di pasar raya

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG, SABTU, 25 Februari, 2012: Terkejut! Itulah situasi yang dialami seorang bapa apabila susu tepung yang dibeli untuk anaknya di sebuah pasar raya besar di Bayan Baru di sini dipercayai tiruan kerana ia seakan-akan tepung sahaja.

Mohd. Faisal Mohd. Kassim, 30, berkata, dia membeli dua kotak susu tepung itu pada 16 Februari lalu untuk anaknya, Muhammad Afiq Hafizuddin yang baru berusia dua tahun pada harga diskaun iaitu RM16.99 bagi setiap kotak seberat 700 gram.

“Saya terkejut sebaik sahaja membuka kotak susu berjenama terkemuka itu kerana bungkusannya menggunakan plastik lutsinar dan kandungan pula berwarna putih seakan-akan tepung.

“Ia berbeza berbanding dengan susu tepung asli yang dibungkus dengan plastik aluminium malah susu tepung itu tidak mempunyai bau dan rasa.

“Nasib baik saya dapat mengesan lebih awal dan tidak sempat memberi susu itu kepada anak sulung saya, jika tidak mungkin ada kesan sampingan terhadap kesihatannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faisal, dia kesal dengan sikap pengeluar produk susu berkenaan yang sehingga kini gagal memberi penjelasan berkaitan dengan kejadian itu.

“Saya bimbang sekiranya terdapat produk tiruan yang dijual di pasar raya berkenaan ia mungkin boleh membahayakan kanak-kanak selain mengelirukan pengguna,” ujarnya.

Tambah Faisal, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak pasar raya terbabit pada 18 Februari lalu malah mereka turut mengesan beberapa bungkusan susu tepung dalam keadaan mencurigakan daripada jenama yang sama di atas rak pasar raya berkenaan.

“Pegawai terbabit memberitahu akan mengambil tindakan termasuk menghubungi syarikat pembekal susu terbabit untuk memaklumkan isu tersebut malah saya telah memaklumkan juga pada Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut pada 21 Februari dan masih menunggu jawapan siasatan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai terutamanya ibu bapa agar lebih berhati-hati dan memastikan susu tepung yang dibeli bukan susu tiruan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment