My Add

Friday 24 February 2012

Tragedi Bukit Kepong dibongkar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Kisah sebenar di sebalik tragedi menentang keganasan komunis di Bukit Kepong akan menjadi salah satu isu yang akan dibincangkan pada Kolokium Sejarah Malaysia Sabtu ini.

Bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor Datuk Seri J.J. Raj berkata, beliau perlu menjelaskan perkara yang sebenar kerana banyak andaian salah dan kurang tepat yang dibuat oleh sesetengah pihak mengenai peristiwa berdarah 23 Februari 1950 itu.

"Ramai orang yang kurang faham mengenai tragedi Bukit Kepong hinggakan ada yang kata semasa komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, ramai polis sedang mabuk...tapi semua itu karut," katanya pada sidang akhbar khas mengenai kolokium itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai Ketua Polis Daerah Pagoh ketika itu, beliau diberi tanggungjawab menjaga 20 balai polis dan 20 pondok polis dan Balai Polis Bukit Kepong adalah salah satu daripadanya.

Raj, 89, berkata, beliau akan terus menganggap anggota polis yang terkorban dalam serangan di Bukit Kepong sebagai wira yang hanya tahu mempertahankan kedaulatan negara dan menentang keganasan.

Beliau turut menentang keras kenyataan sesetengah pihak bahawa Mohammad Indera atau Mat Indera, tali barut komunis dalam tragedi tersebut, sebagai pejuang kemerdekaan atas dasar perjuangan menentang penjajah sebelum negara merdeka.

"Seramai 180 orang komunis yang melakukan serangan ini dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding 20 anggota polis cuma dilengkapi dua pucuk senjata automatik.

"Mat Indera telah meminta polis serah diri tetapi Sarjan Jamil (Ketua Balai Bukit Kepong Allahyarham Sarjan Jamil Mohd Shah) tetap tidak mahu menyerah. Pada masa itu mayat berada di sebelah kanan dan kiri Sarjan Jamil. Kalau manusia biasa tentu dia sudah serah diri tetapi semangat Sarjan Jamil begitu kental, beliau pada saya adalah anggota polis paling berani di negara ini," katanya.

Raj berkata, setiap individu tanpa mengira usia perlu meluangkan masa menghadiri kolokium itu bagi berkongsi ilmu dan fakta yang benar mengenai sejarah negara.

"Sejarah sangat mustahak...tak kira orang lama atau orang muda, kita semua patut tahu...orang muda terutamanya perlu tahu macam mana Malaysia mencapai kemerdekaan.

"Susah nak buat perbandingan antara generasi dulu dan sekarang...generasi sekarang makin tinggi pelajarannya dan idea juga semakin banyak...cuma ada perkara, mereka (generasi muda) perlu tahu cara terbaik dan kawal diri mereka sebelum membuat sesuatu perkara," katanya.

Kolokium yang akan berlangsung di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya dari 9 pagi hingga 5 petang itu dimuatkan dengan ucaptama oleh Dr. Leon Comber iaitu pesara polis zaman penjajahan British.

Selain Raj, ia turut menampilkan penyertaan pesara tentera Datuk Kanang anak Langkau dan pesara polis Deputi Supritendan Mohd. Noor Razak selaku anggota panel.

Ahli-ahli akademik yang dijangka hadir pada program itu ialah Datuk Profesor Ramlah Adam, Dr. Arba"iyah Mohd. Noor, Dr. Ho Hui Ling, Dr. Rahila Omar dan Profesor Abdullah Zakaria Ghazali.

Kolokium yang akan dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu mengandungi dua sesi, masing-masing bertajuk Cabaran Perjuangan Kemerdekaandan Kepentingan Sejarah Dalam Pembinaan Negara Bangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment