My Add

Friday 17 February 2012

Wanita perlu jadi peneraju perubahan


ROSMAH Mansor beramah mesra dengan delegasi luar negara selepas merasmikan Forum Kepimpinan Wanita di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Febuari, 2012; Golongan wanita perlu melakukan perubahan bukan setakat menguasai bidang ekonomi, sebaliknya mampu bertindak sebagai peneraju perubahan itu sendiri.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, wanita perlu berubah menyaingi pencapaian kaum lelaki seperti pengasas Apple Inc., Steve Jobs; pengasas Microsoft, Bill Gates dan taikun industri keluli, Lakshmi Mittal yang dianggap sebagai peneraju perubahan dalam landskap ekonomi dunia.

Menurutnya, wanita yang tidak malu menonjolkan keupayaan diri dan berani berdepan dengan pelbagai cabaran boleh berjaya dalam apa jua bidang diusahakan.

"Ramai wanita di seluruh dunia menonjol dalam bidang mereka seperti pengacara terkenal, Oprah Winfrey; pengasas minyak wangi, Estee Lauder dan pengasas kosmetik Body Shop, Anita Roddic namun wanita seperti mereka ini masih sedikit.

"Saya merasakan adalah penting untuk kita mengerakkan usaha bagi mewujudkan lebih ramai wanita menguasai bidang perniagaan," katanya sewaktu merasmikan Forum Kepimpinan Wanita Ke-2 di sini, hari ini.

Forum dua hari bermula hari ini itu bertajuk 'Perkembangan Wanita Dalam Perniagaan: Menuju Tahap Lebih Tinggi' dan menampilkan 30 panel mewakili pelbagai institusi kewangan dan korporat tempatan serta antarabangsa.

Selain itu, menurut Rosmah, bagi mencapai hasrat tersebut, kaum wanita perlu diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam bidang tertentu dan kemampuan mereka tidak sepatutnya dipandang remeh.

"Namun, wanita sendiri perlu memulakan perubahan tersebut dan tidak sepatutnya membenarkan faktor budaya dan tanggapan pihak lain menghalang mereka terlibat dalam perniagaan," katanya.

Menurutnya, bagi wanita Asia, golongan itu perlu menangani halangan psikologi dan tidak terpengaruh dengan tanggapan negatif masyarakat sekiranya bercita-cita menguasai bidang tersebut.

"Pandangan negatif masyarakat boleh menyebabkan wanita kurang yakin dan meletakkan pencapaian mereka pada tahap yang rendah.

"Misalnya, ramai yang melihat jika wanita itu bersikap tegas, dia dilabelkan sebagai individu yang sukar berbanding lelaki yang akan dilihat sebagai seorang berkeyakinan," katanya.

Beliau berkata, untuk layak sebagai peneraju perubahan dalam landskap ekonomi, wanita perlu mencapai taraf antarabangsa menerusi keupayaan menguasai rangkaian yang berkesan dan berani berhadapan pelbagai risiko. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment