My Add

Monday 23 June 2014

Penambakan di Selat Johor hanya 20 hektar, tidak perlu EIA

JOHOR BAHARU, ISNIN 23 Jun, 2014: Kerja penambakan laut bagi projek 'Forest City' yang dibimbangi Singapura berkemungkinan memberi kesan terhadap alam sekitar republik itu, tidak memerlukan laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana keluasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar (20 hektar).

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mokhtar Abdul Majid, pada ketika ini kerja penambakan laut di Selat Johor, berhampiran Laluan Kedua, Gelang Patah itu hanya melibatkan kawasan seluas 49 ekar (19.6 hektar).

"Memandangkan keluasan kawasan yang ditambak tidak melebihi 50 ekar, maka ia tidak memerlukan laporan EIA," katanya kepada Bernama hari ini ketika ditanya tentang projek penambakan laut yang mendapat perhatian kerajaan Singapura itu.

Beliau mengesahkan projek penambakan laut di Selat Johor terbabit dilaksanakan oleh syarikat pemaju daripada China, Country Garden Holdings Ltd dan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Mokhtar berkata, kerja penambakan laut itu bermula pada awal Mac lepas dan dijangka mengambil masa selama lapan bulan untuk siap.

Dua hari lepas, Kementerian Luar Singapura menyatakan kebimbangannya tentang kemungkinan kesan merentasi sempadan ke atas republik itu akibat projek pembangunan hartanah itu di Selat Johor. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment