My Add

Tuesday 24 June 2014

Laungan Allahuakbar bergema iringi keputusan mahkamah

PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Laungan takbir Allahuakbar bergema di pekarangan Istana Kehakiman hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan versi bahasa Melayu.

Lebih 300 umat Islam tanpa mengira usia yang hadir seawal pukul 7.30 pagi itu juga kelihatan menadah tangan sebagai tanda bersyukur selepas dimaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada kerajaan, sekali gus mengekalkan hak eksklusif penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama Islam sahaja.

Mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang turut membawa kain rentang bertulis Bersatu demi mempertahan kalimah Allah, Kalimah Allah hanya hak mutlak Islam dan Hidup Islam.

Terdahulu, umat Islam yang hadir turut mengadakan solat hajat, membaca surah yasin dan bertakbir beramai-ramai.

Segala pertikaian tentang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan versi bahasa Melayu sejak tahun 2009 berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk merayu.

Sementara itu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika ditemui berkata, pihaknya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana isu berkenaan sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan berharap tiada lagi pihak yang akan mempolitikkan keputusan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment