My Add

Tuesday, 24 June 2014

Lapangan terbang antarabangsa Kedah RM1.6 bilion

 
KUALA LUMPUR, ISNIN 23 Jun, 2013: Pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang dicadangkan dibina di kawasan ladang getah Kulim, Kedah dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, kos tersebut meliputi pengambilalihan tanah, pembangunan infrastruktur asas dan dua landasan.

Katanya, pembinaan bagi peringkat awal membabitkan kawasan seluas 600 hektar, namun kawasan tersebut boleh diperluaskan sehingga 6,000 hektar jika diperlukan.

"Kita boleh bina dua, tiga ataupun empat landasan jika diperlukan. Saya yakin ia akan menjadi lapangan terbang serantau, bukan sahaja untuk Kedah malah untuk Selatan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran pembukaan pejabat Bina Darulaman Bhd. (BDB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Mengulas sama ada Kedah mahu bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Mukhriz berkata, adalah lebih murah untuk membina lapangan terbang di tanah besar yang lebih luas berbanding membina landasan di atas laut.

Katanya, kajian pihaknya mendapati, lapangan terbang di Pulau Pinang akan mencapai kapasiti maksimum dalam masa dua tahun lagi dan peningkatan penumpang ke negeri itu menyebabkan penerbangan kargo menurun sebanyak 10 peratus sejak tiga tahun lalu.

"Di sinilah keperluan kami kerana zon utara menarik banyak pelaburan dan banyak syarikat memerlukan perkhidmatan kargo.

"Beberapa syarikat dari Kedah dan Pulau Pinang memberitahu bahawa mereka terpaksa membawa barangan dengan trak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk penerbangan antarabangsa. Jadi, ini tidak baik untuk pelaburan antarabangsa kita," katanya.

Sementara itu, Izham berkata, pembukaan pejabat BDB di sini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan keupayaan Kumpulan BDB serta merintis peluang perniagaan di luar Kedah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment