My Add

Tuesday 24 June 2014

Tuntut pemilihan semula

Oleh SAFINA RAMLI

 * ISHAK Man (duduk, tiga dari kanan) bersama beberapa ahli PKR yang lain membantah pemilihan PKR cabang Sungai Petani dan mendesak pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat supaya mengadakan pemilihan semula ketika ditemui dalam sidang akhbar di Taman Seruling, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi
SUNGAI PETANI, ISNIN 23 Jun, 2014: Kekecohan yang berlaku semasa proses pemilihan di beberapa cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan ahli-ahli PKR Cabang Sungai Petani tampil bersuara mendesak pemilihan semula dijalankan di seluruh negara bagi mengembalikan imej parti tersebut.

Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Sungai Petani, Ishak Man bersama-sama kira-kira 30 anggota cabang parti itu hari ini melahirkan kekecewaan ekoran kegagalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul menjalankan tugas memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

Ishak berkata, proses pemilihan semula bagi setiap cabang PKR di seluruh negara itu perlu dijalankan agar perpaduan dalam kalangan anggota parti itu dapat diperbaiki semula.

Menurutnya, sepanjang proses pemilihan termasuk proses pemi-lihan semula dijalankan di seluruh negara, sebanyak 300 aduan diterima daripada 74 cabang oleh JPP, termasuk dua aduan daripada Cabang Sungai Petani.

"JPP hanya proses aduan daripada 36 cabang manakala aduan 38 cabang lain ditolak tanpa diberikan sebab yang munasabah. JPP sepatutnya lebih telus dalam mengendalikan proses pemilihan ini.

"Kami sangat kecewa dan merasakan ada yang tidak kena dengan perjalanan proses pemilihan cabang PKR dan menuntut agar proses ini dijalankan semula di seluruh negara," katanya ketika ditemui di Taman Seruling, di sini hari ini.

Menurutnya, ahli-ahli PKR Cabang Sungai Petani juga tidak berpuas hati apabila JPP tidak memberi maklum balas yang sepatutnya tentang aduan yang telah dihantar oleh mereka mengenai proses pemilihan di Cabang Sungai Petani.

"Dua aduan telah dihantar kepada JPP pada 6 Mei lalu, namun jawatankuasa hanya menelefon dan menyuruh kami hadir bersama-sama saksi ke ibu pejabat untuk disoal siasat.

"Kami kena bayar RM50 untuk setiap aduan dan untuk kemudah-an, kami minta JPP yang turun padang berjumpa dengan saksi kerana jumlah mereka ramai, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima," jelasnya.

Tambah Ishak, oleh kerana kegagalan JPP, ahli-ahli PKR Cabang Sungai Petani mahu Johari meletakkan jawatan atau jawatannya dilucutkan oleh kepemimpinan Pusat.

"Kami tidak mempunyai masalah peribadi dengan Johari, namun beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan perjalanan proses pemilihan.

"Kami tidak dapat menerima keputusan pemilihan cabang PKR di seluruh negara kerana ada pelbagai masalah seperti dakwaan berlaku berat sebelah, mengatur kemenang-an dan sebagainya," jelasnya. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment