My Add

Tuesday 24 June 2014

Pemaju sukar jual kuota bumiputera

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

 * IDRIS Haron (dua dari kiri), Ismail Othman(dua dari kanan) dan Anthony Adam Cho (kiri) melawat pameran pada majlis penutupan MAPEX 2014 di Melaka, kelmarin. - UTUSAN/azli ahad
MELAKA, ISNIN 23 Jun, 2014: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Melaka mendakwa para pemaju berdepan dengan kesukaran untuk menjual rumah kuota bumiputera disebabkan dasar pinjaman perumahan yang ketat dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengakibatkan berlakunya lebihan di negeri itu.

Pengerusi Rehda Melaka, Datuk Anthony Adam Cho Tian Han berkata, dasar BNM itu secara tidak langsung mengehadkan pembeli bumiputera dalam kumpulan berpendapatan pertengahan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan daripada memiliki rumah yang dikhaskan kepada bumiputera berharga RM250,000 ke atas.

Dalam konteks ini, beliau menyeru BNM agar mengkaji semula dasar pinjaman perumahan tersebut bagi memastikan para pemaju dapat menjual kuota kediaman bumiputera.

"Rehda telah cuba untuk berbincang dengan Bank Negara mengenai isu ini tetapi dengan pengenalan dasar baharu yang lebih ketat untuk pinjaman perumahan, isu ini sukar diselesaikan.

"Tambahan pula, Bank Negara mahu mengekang tekanan inflasi, walaupun dasar baharu itu telah memberi impak ke atas sektor hartanah,’’ katanya kepada pemberita sempena Majlis Penutup Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) 2014 di sini semalam.

Hadir merasmikan penutupan itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) negeri, Datuk Anthony Adam Cho.

Tian Han berkata, sebanyak 2,820 rumah kuota bumiputera bernilai hampir RM1 bilion tidak terjual di Melaka sehingga 31 Mac lalu.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,101 rumah bernilai lebih RM323 juta telah menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan sebanyak 1,719 buah lagi belum,’’ katanya.

Sementara itu, Pengerusi penganjur Mapex 2014, Datuk Ngoh King Hua berkata, pembeli rumah pertama disaran untuk membuat pembelian rumah masing-masing sebelum 31 Disember ini untuk menikmati insentif pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus sejak 1 Januari 2013

"Ia diberikan bagi pembelian rumah pertama berharga tidak melebihi RM400,000 oleh rakyat di negara ini dan layak dituntut sekali sahaja. Pemberian pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ini adalah dalam bajet tahun 2013," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment