My Add

Tuesday 24 June 2014

Tiga maut kereta bertembung treler

 * KERETA Nissan Sentra yang dipandu oleh Syed Abdul Rahman remuk dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak, semalam.
TELUK INTAN, ISNIN 23 Jun, 2014: Tiga termasuk sepasang suami isteri warga emas maut apabila kereta Nissan Sentra yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 42, Jalan Sitiawan-Teluk Intan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Osman Mohamed, 70, dan isterinya, Ainon Montak, 66, meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi mangsa yang merupakan anak saudara pasangan itu, Zaiton Menan, 53, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan pada pukul 8.25 malam.

Suami Zaiton, Syed Adu Rahman Syed Ahmad, 59, yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dirawat di hospital yang sama.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila Nissan Sentra yang dipandu oleh Syed Adu Rahman dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentang sebelum bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan barang plastik.

Akibat pertembungan itu, kereta yang dinaiki remuk dan mangsa tersepit di dalamnya.

Sementara itu, anak lelaki pasangan warga emas itu, Abdul Razak Osman, 34, berkata, kemalangan berlaku ketika ibu bapanya dalam perjalanan pulang dari Pulau Pangkor selepas menghadiri perjumpaan hari keluarga.

Menurut beliau, ibu bapanya ke Pulau Pangkor Sabtu lalu dan dijangka pulang ke rumah mereka di Parit 11, Batu 16, Hutan Melintang, Bagan Datoh hari ini.

"Apabila mendapati ibu bapa saya tidak pulang, saya mulai bimbang lalu menghubungi telefon bapa beberapa kali namun tidak dijawab," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment