My Add

Tuesday 24 June 2014

Malaysia wajar lobi tempat dalam Majlis Keselamatan PBB

KUALA LUMPUR, ISNIN 23 Jun, 2014: Malaysia wajar diberi tempat sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan rekodnya yang cemerlang dalam misi-misi pasukan pengaman di seluruh dunia.

Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pasukan pengaman Malaysia sentiasa menerima pengiktirafan tinggi daripada PBB selain mempunyai pengalaman berkhidmat di negara-negara yang dilanda konflik termasuk Congo dan Timor Leste.

Menurut beliau, Malaysia juga memainkan peranan yang aktif dalam proses rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga membawa kepada kewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.

"Adalah wajar untuk kita melobi tempat sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB. Memang sudah tiba masanya lebih-lebih lagi Malaysia sentiasa dihormati sejak dahulu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika membahaskan rang undang-undang sama memberitahu, Malaysia boleh mewakili suara umat Islam di dalam Majlis Keselamatan PBB.

Beliau menambah, sekiranya dipilih, keahlian Malaysia bakal menjadi faktor pengimbang dalam struktur badan dunia itu.

"Peranan Malaysia amat mustahak dalam suasana negara-negara Islam yang penuh polemik dan masalah," ujarnya.

Senator Datuk Dr. Johari Mat pula percaya Malaysia boleh membantu menyelesaikan krisis yang sedang melanda beberapa negara Islam.

"Walaupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agak malap dan sengketa di negara-negara Islam berterusan di Syria dan Libya, saya melihat dalam persengketaan ini Malaysia boleh memainkan peranan," jelasnya.

Dalam pada itu, Senator Dr. Syed Husin Ali berharap Malaysia akan memenangi undian untuk mendapatkan tempat di dalam Majlis Keselamatan PBB.  - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment