My Add

Tuesday 24 June 2014

Hutan Simpan Lentang digondol

 * DUA buah lori memunggah hasil balak keluar dari kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong.
BENTONG, ISNIN 23 Jun, 2014: Bagaikan langsung tiada kawalan. Demikian gambaran yang dapat disimpulkan mengenai aktiviti penerokaan hutan di Pahang sama ada ia dilakukan secara sah atau haram ekoran banyak hutan telah digondol khususnya di daerah Bentong, Raub dan Cameron Highlands.

Apa yang membimbangkan ialah penerokaan hutan secara tidak terkawal itu akan memberi ancaman serius terhadap sumber bekalan air mentah di negeri ini dan menjejaskan sumber air berjuta-juta penduduk Lembah Klang pada masa depan.

Semalam Kosmo! melaporkan mengenai kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai mengenai kemungkinan krisis air di Lembah Klang bakal berulang jika penerokaan hutan yang menjadi tempat tadahan hujan di Selangor dan Pahang tidak diurus secara lestari.

Tinjauan Kosmo! di beberapa daerah di negeri Pahang dalam tempoh seminggu lalu mendapati terdapat banyak aktiviti penerokaan hutan yang tidak terkawal terutamanya di hutan simpan kekal dan kawasan tadahan hujan.

 * SEBAHAGIAN daripada kawasan hutan yang digondolkan untuk projek menara talian elektrik TNB di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong. Gambar ini dirakamkan kelmarin.
Ketika tinjauan dibuat di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong yang mempunyai keluasan 1,338 hektar kelmarin, pemandangan dari luar menunjukkan kawasan hutan itu bagaikan langsung tidak diusik, namun perkara sebaliknya berlaku di bahagian dalam apabila lebih 78 hektar kawasan hutan simpan kekal berkenaan telah digondolkan.

Tinjauan itu juga mendapati kawasan hutan simpan tersebut telah dirosakkan dengan laluan balak sepanjang kira-kira 20 kilometer bermula dari pintu masuk hutan tersebut di Pejabat Hutan Kecil Lentang hingga ke Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik dan Bukit Tinggi.

Laluan balak yang dibina itu dibimbangi boleh mengakibatkan hakisan tanah dan ia masuk ke dalam Sungai Benus yang mengalir ke kawasan Air Terjun Hutan Lipur Lentang sekali gus mencemarkan kawasan perkelahan itu jika berlaku hujan lebat. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment