My Add

Tuesday 24 June 2014

2 kementerian bincang atasi seleweng diesel

 
KUALA LUMPUR, ISNIN 23 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam usaha mengatasi masalah penyelewengan subsidi diesel.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah (gambar) berkata, ia dibuat di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membentuk satu tindakan atau perubahan yang dapat diambil bagi mengatasi masalah tersebut kerana perbezaan harga subsidi di negara ini dengan negara jiran agak jauh,

"Mungkin satu keputusan akan dibuat dalam usaha kita mengekang penyelewengan subsidi, yang mana bentuk tindakan itu masih dalam perbincangan antara Kementerian Kewangan dan KPDNKK," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah di Dewan Negara hari ini.

Menjawab soalan Senator Ahamad Yusop mengenai laporan mengenai kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion setahun akibat masalah penyelewengan subsidi diesel, Ahmad Bashah berkata, beliau tidak dapat mengesahkan laporan itu kerana tiada fakta yang menyokong kenyataan itu.

"Adalah sukar untuk kita menyatakan secara tepat jumlah sebenar minyak diesel yang telah diselewengkan.

"Bagaimanapun, berdasarkan kepada kes-kes yang telah diambil serta jumlah rampasan yang dibuat ke atas bahan api itu dari 2009 hingga 2013, jumlah diesel yang dikesan telah diselewengkan adalah sebanyak 22.77 juta liter yang dianggarkan bernilai hampir RM42.5 juta," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment