HILMI Ab. Rahman (depan, dua dari kiri) bersama para pensyarah dan kakitangan universiti menunjukkan tanda bagus setelah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Kualiti Naib Canselor di UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
KUALA KRAU, RABU, 01 Februari, 2012: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang mencatat sejarah apabila dinobatkan juara keseluruhan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) UiTM di kampus induk Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman berkata, kejayaan itu dicapai sempena sambutan Bulan Inovasi UiTM yang merupakan program tahunan bagi membina budaya inovasi serta kreativiti pensyarah dalam pelbagai cabang disiplin ilmu.
Menurutnya, pembentangan akhir produk inovasi itu diadakan di kampus induk tersebut membabitkan semua wakil UiTM dari seluruh negara.
"Kejayaan itu meletakkan UiTM Pahang lebih disegani," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, kelmarin.
Katanya, antara anugerah yang diterima oleh kampus itu ialah juara keseluruhan AKNC dengan menerima hadiah RM20,000 serta juara AKNC di peringkat kampus negeri.
Selain itu tambahnya, UiTM kampus Shah Alam turut menerima Anugerah Inovasi, Anugerah Hasil Pencapaian dan Anugerah Tumpuan kepada tenaga kerja.
Jelasnya, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Pahang turut muncul juara keseluruhan KIK Optima, juara KIK Inovasi Proses Terbaik dan juara KIK Inovasi Kaedah P&P terbaik.
"Kejayaan mencapai status juara keseluruhan AKNC dan muncul tempat pertama dalam beberapa pertandingan itu dianggap luar biasa dan memberi kebanggaan kepada warga UiTM Pahang," katanya.
No comments:
Post a Comment