My Add

Wednesday, 1 February 2012

Pelajar hargai pemberian BB1M, anggap pembelaan kerajaan

BACHOK, RABU, 01 Februari, 2012: Keseluruhan pelajar tingkatan enam di jajahan ini menganggap pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebanyak RM200 sebagai pembelaan kerajaan Persekutuan dalam membangunkan taraf pendidikan rakyat.

Mereka turut menyifatkan pemberian baucar buku itu selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan.

Seorang pelajar, Mohamad Khairudin Ali, 18, berkata, pemberian baucar buku itu tidak boleh disalahtafsirkan sebagai agenda politik sebagaimana dakwaan pihak tertentu kerana ia merupakan usaha kerajaan untuk meringankan beban keluarga pelajar dalam membeli buku untuk anak-anak mereka.

Malah katanya, pemberian baucar itu sudah tentu dianggap sangat bernilai oleh keluarga miskin yang selama ini banyak bergantung kepada pinjaman buku teks sekolah sebagai sumber utama.

"Kami anggap pemberian ini sebagai keprihatinan kerajaan terhadap pelajar dan pembangunan pendidikan negara," katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan BB1M di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain. Seramai 205 pelajar menerima bantuan itu melibatkan jumlah keseluruhan RM41,000.

Seorang lagi pelajar, Kamariah Ismail , 19, berkata, pelajar yang masih belum berpolitik tidak menganggap pelaksanaan skim itu sebagai usaha untuk memancing undi sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Apa yang pasti jelasnya, pemberian baucar buku itu banyak membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam menampung kos buku anak-anak mereka.

Kamariah berharap, pemberian baucar itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu pelajar luar bandar yang kebanyakannya dari keluarga miskin.

"Kami sedar sudah banyak bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja di sekolah menengah tetapi juga sekolah rendah. Ia adalah pembelaan berterusan yang harus dihargai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment