My Add

Wednesday 1 February 2012

Sara 1Malaysia dapat sambutan menggalakkan di Kedah

ALOR SETAR, rabu, 01 Februari, 2012: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk bandar raya ini apabila orang ramai berebut untuk mengisi dan mendapatkan borang penyertaan pada hari pertama permohonan dibuka kelmRIN..

Disebabkan penyertaan skim itu berdasarkan siapa cepat dia dapat, warga bandar raya ini kelihatan berpusu-pusu dan memenuhi ruang bangunan beberapa bank yang dilantik untuk melaksanakan skim tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di CIMB Bank di Jalan Tunku Ibrahim di sini mendapati, orang ramai mula mendapatkan borang permohonan penyertaan Sara 1Malaysia sebaik sahaja institusi kewangan itu dibuka pada pukul 9.15 pagi.

Mereka yang ditemui rata-rata berkata, peluang menyertai skim yang diwujudkan oleh Kerajaan Pusat untuk membantu golongan berpendapatan rendah itu tidak boleh dilepaskan demi masa depan mereka.

Sebelum mengedarkan borang, para petugas di bank berkenaan kelihatan menerangkan mengenai syarat permohonan kepada orang ramai bagi memastikan mereka memahami peraturan yang ditetapkan.

Pengurus Khidmat Pelanggan bank itu, Rohani Lid@Khalid berkata, pihaknya terpaksa membuat salinan fotokopi borang permohonan skim tersebut sehingga beberapa kali ekoran permintaan yang tinggi daripada orang ramai.

"Sambutan yang diberikan oleh orang ramai amat menggalakkan. Sehingga petang ini, tidak kurang daripada 500 keping borang diedarkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain CIMB Bank, penyertaan Sara 1Malaysia juga boleh dibuat menerusi pinjaman yang disediakan kerajaan melalui Malayan Banking Bhd. (Maybank), RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Permohonan terbuka kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun hingga 58 tahun dan memiliki pendapatan kasar kurang RM3,000 sebulan dan tidak muflis.

Setiap individu perlu meminjam sebanyak RM5,000 seorang bagi setiap isi rumah tanpa dikenakan kadar faedah. Para peserta yang layak akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan RM5,000 yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Sementara itu, seorang peniaga kecil-kecilan, Rashid Nawar Bidin, 55, berkata, pinjaman tanpa dikenakan faedah dan insentif bulanan yang tinggi menyebabkan dia memohon untuk menyertai skim berkenaan sebagai pelaburan masa depan keluarganya.

"Saya bangga dan mengalu-alukan pendekatan kerajaan memperkenalkan skim ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah menerusi pelaburan jangka masa panjang," katanya.

Seorang suri rumah, Siti Isah Othman, 50, dari bandar raya ini berkata, dia ke bank berkenaan untuk mengambil borang penyertaan skim tersebut bagi pihak suaminya yang merupakan kakitangan hospital.

"Ini merupakan peluang yang diberikan kerajaan untuk melabur dan mendapat manfaat daripada pelaburan Sara 1Malaysia. Kami ingin menyertainya kerana ia pasti membawa manfaat pada masa depan," katanya.


No comments:

Post a Comment