My Add

Saturday 18 February 2012

170,000 pengguna terjejas

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: – Sebanyak 170,000 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di kawasan Hulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini apabila salah sebuah pam di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, Hulu Langat, rosak.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengendali loji berkenaan, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang kini sedang melakukan kerja pembaikan pam berkenaan.

LRA Sungai Langat mempunyai 13 pam dan ia membekalkan air mentah dari Sungai Langat ke LRA Sungai Langat untuk diproses menjadi air terawat.

Abdul Halem menjelaskan, akibat kerosakan pam berkenaan, kadar pengeluaran air terawat terpaksa dikurangkan sebanyak 13 peratus iaitu daripada 470 JLH (juta liter sehari) kepada 410 JLH, iaitu kekurangan sebanyak 60 JLH.

Tambahnya, akibatnya beberapa kawasan di daerah Hulu Langat juga dijangka akan mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air sepanjang kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan.

“Syabas telah membuat segala persiapan yang perlu termasuk mengaktifkan pelan tindakan kecemasan bagi wilayah Hulu Langat sebagai langkah menyediakan bantuan bekalan air menerusi lori tangki untuk dihantar ke kawasan-kawasan yang terlibat sekiranya diperlukan.

“Kerja-kerja pembaikan pam dijangka siap pada lewat petang Sabtu. Pihak operator loji akan memaklumkan kepada Syabas berhubung kemajuan kerja-kerja penyenggaraan ini dari semasa ke semasa dalam usaha menyiapkan kerja-kerja tersebut dengan seberapa segera,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Abdul Halem berkata, difahamkan LRA Sungai Langat yang telah memulakan operasi sejak tahun 1971 belum lagi dinaik taraf dan sentiasa beroperasi 22 peratus melepasi kapasiti reka bentuknya bagi memastikan pengeluaran air terawat mampu memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di wilayah Hulu Langat.

Menurutnya, pengeluaran yang melepasi kapasiti ini telah menyebabkan pam air mentah tersebut beroperasi secara berterusan kerana tiada pam sedia tunggu atau pam-pam simpanan.

“Selain itu, loji ini terpaksa juga beroperasi kerana tiada sumber-sumber lain yang cukup untuk membekalkan air bersih ke wilayah tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment