My Add

Saturday 18 February 2012

Jangan salah guna bantuan kerajaan

KLANG, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Sebanyak 50 petani dan peniaga kecil telah menerima sumbangan berupa peralatan perniagaan dan baka haiwan ternakan daripada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kapar (MPPP) di Dewan Orang Ramai Taman Berkat, Meru di sini.

Program tersebut diadakan untuk membantu penerima-penerima bantuan memajukan perniagaan dan menambahkan hasil pertanian masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, bantuan daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut perlu digunakan dengan sebaiknya kerana hanya yang benar-benar layak akan menerimanya.

Beliau berkata, penerima baka haiwan ternakan seperti kambing boer dan lembu brahman perlu menternak haiwan yang diberi dan bukan menjualnya untuk mendapat untung singkat.

"Bantuan seperti mesin jahit dan mesin membuat ais krim perlu digunakan sebaiknya demi menambahkan hasil pendapatan. Saya tidak mahu bantuan yang diberi disalah guna, kerana ada kes penerima bantuan menjual mesin yang disumbang kepada mereka," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut baru-baru ini.

Jelasnya lagi, lembu brahman misalnya mempunyai harga pasaran yang tinggi dan sepatutnya baka tersebut dibiakkan untuk menghasilkan keuntungan berganda.

"Seekor lembu brahman dewasa berharga RM4,000 hingga RM5,000 seekor mengikut saiz. Sepatutnya kes menjual baka yang diberi oleh pihak Kementerian Pertanian tidak timbul lagi," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment