My Add

Saturday 11 February 2012

250 keluarga terima bantuan MyKasih Foundation

SHAHRIR Samad menyampaikan sumbangan kepada sebahagian daripada 125 keluarga miskin sambil diperhatikan oleh Ngau Boon Keat di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, SABTU, 11 Februari, 2012: Seramai 250 keluarga di kawasan Larkin menerima bantuan MyKasih Love My Neighbourhood bagi membantu mereka membeli barang keperluan harian di pasar besar Giant di sini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, menerusi program itu mereka yang layak akan menikmati bantuan barangan keperluan makanan bernilai RM40 secara berkala bagi setiap dua minggu sekali.

Menurutnya, bantuan itu akan dinikmati bagi tempoh selama setahun dan penerima hanya perlu mengemukakan MyKad dan nombor pin yang diberikan kepada mereka bagi membeli barangan tersebut.

"Bantuan yang diusahakan MyKasih Foundation cukup baik kerana ia menjamin setiap sumbangan yang berupa barangan makanan sampai kepada penerima sepenuhnya.

"Dana yang dikumpulkan oleh MyKasih Foundation adalah hasil sumbangan para dermawan iaitu individu, korporat dan syarikat bagi sama-sama menjayakan program yang cukup bagus dan secara langsung dapat membantu kerajaan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Flat Larkin di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru dan Pengerusi yang juga Pengasas MyKasih Foundation, Ngau Boon Keat.

Shahrir berkata, pemilihan kumpulan penerima itu dibuat pelbagai pihak termasuk oleh Biro Kebajikan Parlimen Johor Bahru.

"Senarai nama kumpulan sasar yang perlu dibantu itu turut dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk disahkan. Ini bermakna para penerima adalah golongan yang sewajarnya mendapat bantuan itu.

"Berikutan sambutan menggalakkan, saya telah mencadangkan agar jumlah penerima di kawasan Parlimen Johor Bahru ditambah daripada 250 penerima kepada 500 orang bagi membolehkan keluarga yang benar-benar susah menikmati kemudahan itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment