KUALA LANGAT, RABU, 08 Februari, 2012: Sebanyak 800 penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datuk menerima baucar RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi fasa pertama pengagihan yang dilaksanakan baru-baru ini.
Mereka merupakan antara 4,200 penduduk daerah ini yang layak menerima bantuan berkenaan.
Penyerahan baucar itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN Telok Datuk, Ng Siok Wah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Jarom.
"Pemberian BR1M membuktikan kerajaan Persekutuan mengotakan janjinya. Ia juga tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat," katanya selepas mengagihkan bantuan tersebut.
Seorang pesara, Er Hok Kee, 68, gembira kerana terpilih menjadi antara orang yang pertama menerima bantuan tersebut.
"Wang ini boleh digunakan pada sambutan Tahun Baru Cina," katanya.
Seorang pemandu teksi, Md. Zain Isa, 64, berkata, bantuan tersebut meringankan bebannya untuk membeli barangan keperluan harian keluarganya.
"Syukur dengan keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang prihatin dengan keluh-kesah rakyat," katanya.
Seorang ibu tunggal, A. Pinitha, 43, yang bekerja sebagai pencuci bangunan berkata, pemberian bantuan tersebut membuktikan kerajaan mengambil berat soal kebajikan rakyat secara keseluruhannya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment