My Add

Wednesday 8 February 2012

Roboh gerai: Peniaga beri tempoh dua minggu

SELAYANG, RABU, O8 Februari, 2012: Lima peniaga kecil di Jalan 26, Selayang Baru bakal mengadakan bantahan secara besar-besaran di hadapan pejabat ahli Parlimen Selayang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), William Leong Jee Keen jika beliau tidak menyelesaikan isu gerai mereka yang dirobohkan pada Disember tahun lalu.

Seorang peniaga gerai makanan, Tee Guat Eng, 64, berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu sehingga pertengahan bulan ini kepada William untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Tindakan beliau yang mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk merobohkan gerai kami pada 23 Disember tahun lalu menyebabkan kami mengalami kerugian kira-kira RM110,000.

"Ia adalah satu tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan memandangkan kami tidak mempunyai tapak lain untuk berniaga," katanya ketika ditemui sewaktu mereka mengadakan perhimpunan bantahan di bekas tapak gerainya baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun sebelum ini pihaknya telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan Ahli Parlimen Selayang itu, namun jawapan yang diberikan sangat mendukacitakan.

"Kami hanya mahu diberikan tapak baru untuk berniaga dan pampasan berikutan kerugian yang dialami akibat gerai yang diroboh oleh MPS itu.

"William seorang yang sombong dan tiada tolak ansur dengan masyarakat. Bagaimana dia mahu menjadi pemimpin jika bersikap sedemikian?," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas),Mohd. Ridzuan Abdullah ketika ditemui berkata, tindakan William itu jelas menunjukkan beliau telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk menindas peniaga-peniaga kecil.

"Kami akan bawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membela nasib peniaga-peniaga yang ditindas oleh pemimpin di kawasan mereka.

"Jika beliau tidak menyelesaikan perkara ini dalam tempoh yang diberikan, Ikhlas bersama-sama dengan peniaga akan membuat bantahan di hadapan pejabatnya dan akan bawa perkara ini terus ke mahkamah," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment