My Add

Thursday 2 February 2012

50 pemandu bas mogok, tak puas hati tawaran gaji

SEBAHAIAN pemandu bas, bertikam lidah dengan pihak pengurusan berhubung pampasan serta gaji di Melaka Sentral, Melaka semalam.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

MELAKA, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Kira-kira 50 pemandu bas berhimpun secara aman di Melaka Sentral di sini kerana rasa tidak puas hati terhadap tawaran gaji rendah ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui PM Cultural & Tourism Sdn. Bhd., (PMCT) yang mengambil alih pengurusan perkhidmatan bas henti-henti bermula hari ini.

Kecewa dengan tawaran gaji dijanjikan oleh PMCT yang didakwa tidak menepati tawaran asal, hampir 50 buah bas daripada lebih 80 buah bas dikatakan tidak menjalankan operasi seperti biasa, semalam.

Mereka mendakwa, tawaran asal gaji pokok berjumlah RM850 sebulan yang dijanjikan ketika hadir pada sesi temu duga pada Disember tahun lalu telah berkurang kepada RM500 sebulan.

Abdul Hamid Mad Sahat, 44, yang telah berkhidmat lebih 10 tahun bersama syarikat bas Salira Transport & Tours menganggap PMCT cuba menganiaya dan mengambil kesempatan dengan menawarkan gaji rendah.

“Kami rasa tidak puas hati dan rasa teraniaya dengan apa yang telah dilakukan oleh PMCT. Ramai pemandu bas terpaksa bersetuju dengan jumlah tersebut disebabkan bimbang tiada duit untuk tampung keluarga serta anak-anak yang masih kecil.

“Pekerja asing pun boleh mendapat gaji lebih daripada itu, takkan kami yang telah bekerja lebih 10 tahun dibayar gaji rendah semata-mata penukaran pengurusan,” katanya.

Jumlah tersebut katanya, tidak berpatutan berikutan tiada elaun tambahan serta terpaksa berkongsi komisen lima peratus dengan konduktor.

PMCT mengambil alih sepenuhnya pengurusan perkhidmatan bas henti-henti hari ini daripada 10 syarikat bas bagi menyelaras mutu perkhidmatan pengangkutan awam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam baru-baru ini menjangkakan kerugian sebanyak RM14 juta setahun terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri demi memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Kerajaan negeri dengan dibantu oleh enam agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Yayasan Melaka berjaya mengumpul wang RM8 juta bagi pampasan dan pengambil alihan sembilan syarikat bas yang meliputi seramai 118 pekerja termasuk pemandu.

Dalam pada itu, bekas pekerja syarikat bas SKA Sdn. Bhd., Rahman Montel, 53, turut melahirkan kekesalan apabila tidak menerima pampasan daripada bekas syarikatnya itu.

Kata Rahman, sehingga kini bekas syarikatnya belum mengeluarkan senarai nama penerima pampasan seperti dilakukan oleh syarikat lain.

“Sebagai bekas pekerja, saya rasa teraniaya. Selama ini kita bekerja untuk majikan tetapi inilah yang dilakukan oleh majikan terhadap kami,” katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment