My Add

Thursday 2 February 2012

PMCT nafi tawar gaji pokok pemandu bas RM850

MELAKA, KHAMIS, 02 Februari, 2012: PM Cultural & Tourism Sdn. Bhd., (PMCT) menafikan memberi tawaran gaji pokok sebanyak RM850 bagi jawatan pemandu bas syarikat itu.

Pengurus Besar PMCT, Mohd. Farouk Mohd. Sultan berkata, sehingga kini lebih 80 pemandu bas bersetuju dengan tawaran itu dan menganggap dakwaan sesetengah pihak terhadap isu gaji itu sebagai sengaja mahu menimbulkan masalah.

"PMCT hanya menawarkan kerja kepada pemandu terlibat. Tujuan kita baik kerana ingin membantu dan memastikan bekas pekerja syarikat bas yang diambil alih oleh PMCT mempunyai pekerjaan.

"Kita bersikap terbuka dan memberi tawaran. Soal tidak puas hati terpulang kepada mereka kerana kami tidak membuat paksaan,'' katanya ketika ditemui pemberita di Melaka Sentral di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Operasi PMCT, Abdul Wahid Abdul Majid.

Menurutnya, jumlah gaji pokok yang ditawarkan ialah RM500 di samping tawaran kerja lebih masa dan lima peratus komisen.

Mengulas tentang perhimpunan secara aman yang dilakukan oleh sekumpulan pemandu bas, katanya, tidak ada penumpang yang terkandas ekoran tindakan tersebut.

"Lebih 80 pemandu telah menandatangani perjanjian dan memulakan operasi bermula hari ini," katanya.

Sementara itu, kata Abdul Wahid, banyak bas yang diberikan kepada PMCT didapati tidak berada dalam keadaan memuaskan seperti keadaan tayar yang rosak dan bateri lama.

"Sebab itu ada bas yang tidak dapat beroperasi hari ini kerana keadaannya kurang memuaskan. Tetapi yang lain alhamdulillah boleh beroperasi seperti biasa," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment