My Add

Thursday 2 February 2012

54 anak yatim terima sumbangan Masjid Intan Abu Bakar

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Seramai 54 anak yatim di sekitar Skudai di sini menerima sumbangan daripada Masjid Intan Abu Bakar, Taman Sri Pulai malam kelmarin..

Pengerusi masjid berkenaan, Dr. Karim Deraman berkata, sumbangan itu adalah yang pertama diberikan membabitkan anak yatim dari empat taman perumahan berhampiran.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 22 anak yatim dari Taman Sri Pulai, Taman Teratai (23), Taman Pulai Jaya (2) dan Taman Pulai Emas (7).

"Sumbangan itu adalah aktiviti tahunan dan pada tahun ini kami mengorak langkah memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik dari luar kawasan Taman Sri Pulai.

"Keputusan untuk memberi bantuan kepada mereka yang tinggal di luar taman ini diambil berikutan sumbangan daripada orang ramai untuk tabung anak yatim meningkat dengan begitu ketara," katanya.

Pihaknya merancang menggunakan sumbangan orang ramai itu untuk mengadakan kelas tambahan bagi membantu anak yatim menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini.

Katanya, kajian mendapati ramai anak yatim mendapat keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi merosot di peringkat PMR.

"Kami akan jadikan mereka sebagai anak angkat masjid dengan menyediakan tenaga pengajar terlatih untuk memberi bimbingan tambahan supaya mereka boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

Selain itu, Masjid Intan Abu Bakar turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim di Kemboja dan Palestin.

Sempena program berkenaan, penceramah terkenal Mohd. Rifqi Mydin dijemput memberikan ceramah motivasi mengenai kebaikan membantu anak yatim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment