My Add

Wednesday 22 February 2012

Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 perlu dikaji semula

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Persatuan Peniaga Kereta Terpakai dan Syarikat Kredit Selangor dan Kuala Lumpur meminta Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji semula Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 yang mengkategorikan kereta terpakai sebagai barang lusuh.

Presidennya, Khoo Kah Jin, berkata disebabkan perkara itu, sehingga kini 70 peratus hingga 80 peratus penjual kereta terpakai masih tidak mendapat permit daripada PDRM kerana pihak berkuasa itu membekukan pengeluaran permit barang lusuh sejak enam tahun lalu.

“Kereta terpakai tidak sepatutnya dikategorikan sebagai barang lusuh kerana ia mempunyai nombor casis dan nombor enjin yang berlainan.

"Mereka (penjual kereta terpakai) tidak dapat menjalankan perniagaan sehingga sekarang kerana selagi tidak mendapat permit (daripada polis), mereka tidak boleh mendaftar dengan majlis (kerajaan) tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk berniaga," katanya.

Khoo berkata, sangat malang permit yang dikeluarkan polis kepada penjual kereta terpakai adalah permit perniagaan barang lusuh yang secara tidak langsung mengkategorikan kereta terpakai sebagai barang lusuh.

"Menurut Akta Peniaga Barang Terpakai 1946, kereta terpakai dikategorikan sebagai barang lusuh. Apabila pihak polis membekukan pengeluaran permit barang lusuh, secara tidak langsung perniagaan kereta terpakai terjejas," katanya ketika sidang media bersama Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan di sini, hari ini.

Khoo berkata, polis tidak mempunyai apa-apa sebab untuk mengeluarkan permit penjualan kereta terpakai dan sekiranya ia atas faktor keselamatan ataupun untuk mengetahui jumlah penjual kereta terpakai di Malaysia, mereka boleh mendapatkan angka itu daripada persatuan peniaga kereta terpakai. 

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong, berkata kereta terpakai mempunyai nombor casis serta nombor enjin yang berlainan dan bagi melakukan urusan jual beli, ia mesti melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk sesi pengimbasan.

"Oleh itu, kereta terpakai tidak boleh dikategorikan sebagai barang lusuh," katanya.

Lau berkata, beliau dan pihak persatuan akan menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri dan PDRM bagi mengkaji semula Akta Peniaga Barang Terpakai 1946 dan mengadakan dialog bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penjual kereta terpakai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment