My Add

Monday 27 February 2012

Anwar berjanji lagi, tutup kilang Lynas jika tawan Putrajaya

KUANTAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Sudah menjadi lumrah pembangkang menabur janji kepada rakyat dan terbaru mereka berjanji akan menutup kilang memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng di sini jika berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, pembangkang tidak akan mempertahankan mana-mana dasar yang menindas rakyat dan merosakkan alam sekitar.

"Saya mewakili kawan-kawan dalam pakatan pembangkang dengan ini mengumumkan kalau kita ambil alih Putrajaya, Lynas akan dibatalkan.

"Kami juga ingin memberi jaminan semua tindakan yang merosakkan alam sekitar, menindas rakyat, merompak harta rakyat, pembalakan di Sarawak, semuanya akan kami pertahankan," katanya ketika berucap mengakhiri Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, di sini hari ini .

Anwar berkata, beliau akan menyampaikan mesej kepada rakyat dan kerajaan Australia yang mereka perlu bertanggungjawab dengan keselamatan rakyat Malaysia ekoran pembinaan kilang Lynas.

"Kami (rakyat) tidak mahu mengorbankan masa depan kami dengan projek ini (Lynas)," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pembangkang akan membawa satu usul tergempar bagi membatalkan pembinaan kilang Lynas pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 12 Mac ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga berkata, kumpulan kuning hari ini bersama dengan kumpulan hijau untuk sama-sama menentang dan menolak mereka yang menyokong Lynas terutama pada pilihan raya akan datang.

"Kita (Bersih) lancarkan kempen 'Jom 100' yang mana kita mahu 100 peratus rakyat keluar mengundi. Kita tolak calon sokong Lynas, tolak calon tidak berintegriti," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, Wong Tuck memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan untuk menutup kilang Lynas atau menghadapi Himpunan Hijau 3.0. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment