My Add

Monday 27 February 2012

Inisiatif Restoran Sekinchan Ikan Bakar disambut baik

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Februari, 2012: Inisiatif Restoran Sekinchan Ikan Bakar menganjurkan program Kenduri Jom Daftar Undi di Taman Setiawangsa di sini hari ini menerima sambutan hangat dan positif daripada para pengunjung.

Orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai pemilih tidak putus-putus mengunjungi kaunter daftar pemilih dan beberapa kaunter agensi kerajaan lain yang dibuka sejak pukul 11 pagi.

Suasana meriah dapat disaksikan dengan kunjungan masyarakat pelbagai peringkat umur yang meluangkan masa sempena cuti hujung minggu mereka untuk menghadiri program tersebut.

Banyak manfaat dan urusan dapat diselesaikan oleh mereka menerusi program yang disertai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut serta, syarikat swasta seperti IBM Automobiles Sdn. Bhd., Eqien Wedding Market, SukaGuam, Sani Express dan Federal Malay Holding.

Selain kaunter pendaftaran dan semakan pemilih oleh SPR, sebanyak 10 kaunter pameran dan jualan dibuka oleh kesemua agensi kerajaan dan syarikat swasta terlibat sepanjang program berlangsung sehingga pukul 6 petang.

Pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah cabutan bertuah yang berupa sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, basikal, hamper dan peralatan elektrik.

Seorang pengunjung, Semah Abd. Ghani, 63, berkata, program berkenaan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk melakukan pelbagai urusan yang berkaitan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

‘‘Saya datang untuk menukar alamat setelah berpindah dari Melaka ke Keramat Wangsa di sini baru-baru ini. Perkhidmatan di kaunter SPR memang sangat memuaskan dan saya tidak perlu menunggu lama untuk urusan tukar alamat.

‘‘Pada masa sama, saya berharap lebih banyak usahawan dan syarikat swasta mencontohi langkah Restoran Sekinchan Ikan Bakar ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Rosliza Isan, 42, usaha menambah bilangan pemilih berdaftar pasti mendatangkan hasil memberangsangkan sekiranya mendapat kerjasama semua pihak.

Katanya, orang ramai terutama kelompok yang dikategorikan sebagai pengundi di atas pagar lebih tertarik untuk menghadiri kempen daftar pengundi anjuran pihak yang dianggap sebagai berkecuali.

‘‘Kebiasaannya kita lihat kempen mendaftar pengundi baru dijalankan oleh parti politik. Kempen anjuran Restoran Sekinchan Ikan Bakar memang lain daripada yang lain,” jelasnya.

Bagi penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Anna Arina Ab. Halim, 22, berkata, dia sangat teruja kerana berpeluang untuk mengundi buat kali pertama pada pilihan raya umum akan datang.

‘‘Saya harap lebih ramai golongan muda mendaftar sebagai pemilih kerana setiap undi yang kita berikan, mempunyai kesan terhadap proses pembentukan kerajaan yang bakal memerintah negara,” katanya.

Mohd. Halid A. Razak, 23, dari Segamat, Johor, memberitahu, program itu perlu diperluaskan penganjurannya ke seluruh negara terutamanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

‘‘Berdasarkan pemerhatian saya, masih ramai rakan belum mendaftar dengan SPR. Kenduri Jom Daftar Undi pasti mendapat sambutan hebat sekiranya dianjurkan di IPTA dan IPTS,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment