My Add

Friday 24 February 2012

APMM patahkan cubaan bot pancung seludup rokok

BATU PAHAT, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat di sini berjaya menahan sebuah bot dalam cubaan menyeludup rokok kretek di kawasan hutan paya bakau di Muara Sungai Koris dekat sini.

Bot berkenaan berjaya ditahan hasil intipan berterusan oleh anggota pasukan ini di kawasan yang dikategorikan panas dengan pelbagai aktiviti haram dan juga maklumat daripada aduan orang yang boleh dipercayai berhubung kegiatan aktiviti penyeludupan yang sering berleluasa sejak kebelakangan ini.

Pada awal pagi semalam, sebuah buah bot APMM (Petir 85) dengan anggota seramai empat orang sedang membuat rondaan di kawasan tanggungjawab bagi mencegah sebarang aktiviti haram.

Ketika rondaan itu, krew bot mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di posisi garis lintang 010 41.32 utara dan garis bujur 1020 57.15 timur, iaitu lebih kurang enam batu nautika ke selatan Tanjung Laboh.

Bot berkenaan dipandu laju menghala ke daratan. Krew bot cuba menghampiri bot itu dan mengarahkan mereka supaya berhenti untuk membuat pemeriksaan.

Namun, arahan berkenaan tidak diendahkan dan mereka terus memecut menghala ke Sungai Koris. Seterusnya berlaku adegan kejar mengejar antara bot berkenaan dan bot APMM.

Selepas hampir setengah jam mengejar, akhirnya bot itu berjaya ditahan pada jam 6.15 pagi selepas tersadai di kawasan paya bakau di Muara Sungai Koris. 

Walau bagaimanapun, tekong dan krew bot berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan paya bakau. Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati, ada 50 karung guni yang penuh berisi muatan kotak karton yang dipercayai rokok.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 3,338 karton pelbagai jenis rokok kretek seperti Gudang Garam SURIA, Gudang Garam Nusantara Hijau, Gudang Garam Nusantara Merah, dan Half Time 5.

Nilai rampasan yang cuba dilarikan termasuk duti kastam dianggarkan sebanyak RM 286,482. Turut di rampas adalah sebuah bot fiber 15 meter panjang dengan 3 enjin Yamaha 200 kuasa kuda yang diubahsuai dianggarkan bernilai RM 35,000.

Seterusnya bot ditunda ke Jeti Kastam Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya. Satu laporan polis juga dibuat di IPD Batu Pahat.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 (Akta 235) kerana kesalahan membawa barang larangan yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama, yang membawa hukuman denda 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Maritim Hj Adon bin Hj Shalan, berkata ini adalah kes penyeludupan yang kedua ditangkap di perairan Batu Pahat bagi tahun 2012.

“Pihak APMM Pangkalan Maritim Batu Pahat mengenal pasti kawasan dikategorikan panas dan pemantauan secara berkala dilakukan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan juga jenayah di perairan maritim negara.

“APMM juga memohon kerjasama daripada nelayan tempatan dan orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan yang mencurigakan di perairan negeri ini,” katanya. - BERITA HARIAN 

No comments:

Post a Comment