My Add

Monday 27 February 2012

Artis tampil bantu SPR

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Febeuari, 2012: Kenduri Jom Daftar Undi anjuran Restoran Sekinchan Ikan Bakar Sdn. Bhd. di Taman Setiawangsa di sini hari ini dimeriahkan dengan kemunculan artis terkenal seperti Neelofa, Zed Zaidi, Ani Mayuni, Zahid AF, Nas Adila, Fizo Omar, Ainul Aishah dan Roslan Shah.

Mereka bukan sahaja menghiburkan lebih 2,000 pengunjung yang hadir malah turut membantu menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih atau membuat semakan di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada majlis tersebut.

Zed Zaidi ketika ditemui berkata, setiap warganegara yang layak mengundi sepatutnya sedar tentang peranan mereka dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara menerusi kerajaan dipilih pada pilihan raya umum.

‘‘Golongan artis selaku ikon mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Sehubungan itu, kita hendaklah melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu SPR dalam menggalakkan lebih ramai rakyat mendaftar sebagai pemilih.

‘‘Saya percaya pembabitan artis pasti menarik minat lebih ramai golongan muda yang belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya yang juga Pemangku Timbalan Ketua Seniman Muda, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment