My Add

Monday 27 February 2012

Rakyat Kelantan terus desak

Oleh HAPIZAH AZIZutusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU, AHAD, 26 Februari, 2012: Rakyat Kelantan terus mendesak kerajaan Pas Kelantan menyerahkan pengurusan air di negeri ini kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menjamin masa depan mereka yang lebih baik.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui bersetuju supaya langkah tersebut diambil berikutan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air bersih sejak dua dekad lalu.

Mereka percaya masalah tersebut dapat diselesaikan sekiranya pengurusan bekalan air diserahkan kepada SPAN yang tentunya mempunyai lebih kepakaran berbanding Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Hafizi Husni, 27, berkata, sejak kecil dia didedahkan dengan masalah bekalan air bersih di negeri ini yang masih tidak diselesaikan sehingga hari ini.

"Pelbagai aduan telah dibuat supaya masalah tersebut dapat diatasi, tetapi tidak mendapat tindakan positif daripada pihak kerajaan," dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, lebih 3,000 orang berhimpun secara aman di Lembah Sireh di sini, bagi mendesak kerajaan Pas Kelantan menyerahkan pengurusan air kepada SPAN.

Perhimpunan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan pengurusan air itu dalam tempoh sebulan, jika tidak satu perhimpunan besar-besaran membabitkan 10,000 orang akan diadakan di hadapan Kota Darulnaim.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Razmi Noor, 52, berpendapat, bekalan air merupakan keperluan harian utama penduduk dan sekiranya berlaku masalah, sudah tentu menyusahkan rakyat.

"Sebagai negeri yang ingin memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bekalan air yang sempurna sewajarnya menjadi keutamaan. Jangan biarkan rakyat tidak terbela dalam mendapatkan kemudahan asas itu," dakwanya.

Bagi seorang lagi kakitangan kerajaan, Rosli Md. Zin, 38, pula, dia sudah bosan dengan masalah bekalan air yang berlaku sehingga mengeluarkan kos agak besar untuk memasang penapis air pada telaga di rumahnya.

"Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, tanggungjawab untuk menyediakan bekalan air sempurna untuk rakyat perlu dilaksanakan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azlinda Alis, 38, berkata, terdapat pelbagai rancangan dan cadangan yang ingin dilakukan oleh Kerajaan Pas tetapi yang ketara hanya membaiki paip bocor.

"Sedangkan, masalah sebenar hanya dapat diselesaikan apabila keseluruhan sistem bekalan air itu dirombak. Ini kerana, masalah yang berlaku turut berpunca daripada pelbagai sebab yang bertunjang sejak lama dahulu," katanya.

Bagi Tengku Noor Tengku Zainal, 54, pula, Kerajaan Pas Kelantan tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah itu walaupun telah memperoleh peruntukan sebanyak RM600 juta daripada Kerajaan Pusat.

"Sewajarnya kerajaan Pas melepaskan tanggungjawab itu kepada SPAN supaya masalah dapat diselesaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment