My Add

Sunday 26 February 2012

Atasi kejadian pokok tumbang: PPj guna 'doktor pokok'

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, SABTU, 25 Februari, 2012: Mengambil iktibar daripada kejadian kes pokok tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat hingga mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa, Perbadanan Putrajaya (PPj) menggunakan kepakaran ‘doktor pokok’ untuk mengelak insiden itu berulang.

Pendekatan baru itu yang menghimpunkan sekumpulan pakar dalam bidang arboris (doktor pokok) dan laman akan menyelenggara lebih 650,000 batang pokok di sini bagi memastikan segala aspek risiko dan keselamatan awam terjamin.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan, program yang pertama kali diwujudkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan memerlukan setiap arborist membuat pemerhatian dan analisis terhadap setiap pokok.

Katanya, ia penting kerana pokok-pokok spesies hutan hujan tropika yang terdapat di negara ini membesar dengan lebih cepat tetapi tidak mempunyai struktur pokok yang kukuh.

"Pokok-pokok ini membesar lebih cepat kerana tumbesaran adalah sepanjang tahun dan kurang kukuh berbanding pokok temperat iaitu pokok yang hidup di iklim sederhana.

"Oleh itu, pengurusan pokok di kawasan tropika perlulah lebih intensif dan sepanjang tahun tanpa mengenal musim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Aborikultur dan Buku Panduan ‘Horticultur Master Gardener’ PPj Sempena Karnival Wow! Putrajaya 2012 di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, PPj telah berjaya mencapai standard dalam bentuk perjanjian perkhidmatan (SLA) untuk pengalihan pokok tumbang dalam jangka masa kurang dua jam.

Katanya, pada masa sekarang PPj mempunyai seramai tujuh arborist dan lima ‘master gardener’ bertauliah untuk menguruskan pokok di seluruh Putrajaya.

"Dengan mewujudkan tenaga profesional bertauliah ini, diharap ia akan memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani segala isu berkaitan penyelenggaraan pokok di samping mengekalkan kehijauan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan program itu akan menumpukan pada aktiviti pertunjukan kaedah, bicara taman, bimbingan perkebunan dan sebagainya secara berkala.

"Selain itu, mereka juga akan menyediakan penyelesaian kepada masalah berkaitan dengan aktiviti perkebunan dan penjagaan tanaman yang dihadapi oleh penduduk, kontraktor penyenggaraan landskap dan agensi kerajaan di sini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment