My Add

Sunday 26 February 2012

Program minda sihat tangani stres murid diperluas

Oleh OOI CHOON JOO

PETALING JAYA, SABTU, 25 Februari, 2012: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah di seluruh negara bagi mengenal pasti tanda-tanda stres, keresahan dan kemurungan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, program itu penting bagi membimbing pelajar cara menangani stres memandangkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menunjukkan peningkatan iaitu 20.3 peratus berbanding dewasa hanya 11.2 peratus pada 2006.

“Selangor 19.6 peratus kanak-kanak dan remaja diserang stres, manakala dewasa sebanyak 9.6 peratus pada 2006. Angka ini terus meningkat.

“Menerusi program itu kita akan memberi pendedahan dan mengajar pelajar cara menangani serta menguruskan stres di sekolah, dalam keluarga dan persekitaran,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan Taman Medan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Donald Lim Siang Chai; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Azman Abu Bakar; Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, Dr. Mohamed Ismail Abdul Samad dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Taman Medan, Dr. Tiew Chiew Ming.

Sementara itu, Tiong Lai memaklumkan, peruntukan bantuan sebanyak RM80,000 disediakan bagi memperluaskan bangunan dan menambah baik mutu perkhidmatan klinik tersebut.

Katanya, langkah itu perlu kerana klinik berkenaan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 350,000 penduduk dengan purata setiap hari 1,000 pesakit mendapatkan rawatan.

“Kami akan bagi peruntukan segera untuk memperluaskan bangunan klinik dan menambah beberapa peralatan baru, tetapi fokus utama adalah makmal dan unit kecemasan.

“Masa operasi klinik pula dilanjutkan sehingga pukul 9.30 malam dan akan dibuka pada hari Sabtu sehingga pukul 12 tengah hari bermula bulan depan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan klinik tersebut di sini hari ini.

Mengenai permintaan Siang Chai supaya dibina sebuah hospital di daerah Petaling, Tiong Lai memberitahu, kementerian memang berhasrat berbuat demikian tetapi berhadapan dengan masalah tanah.

“Ini kerana membina sebuah hospital kena ada sekurang-kurangnya 20 hektar tanah dan di kawasan ini memang susah untuk mendapatkan tanah seluas itu. Kami akan pertimbangkan permintaan itu kerana daerah ini mempunyai penduduk yang padat iaitu mencecah 1.8 juta orang,” ujarnya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment