KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Kementerian Pelajaran diminta mengambil tindakan segera membaiki siling pada beberapa buah bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serdang dekat sini yang pecah dan hampir menimpa murid baru-baru ini.
Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, bilik-bilik darjah itu kini telah ditutup dan murid yang terlibat kini ditempatkan sementara di pusat sumber sekolah itu.
Menurutnya, beliau telah melawat ke sekolah tersebut bersama wakil Lembaga Pengurus SJKT Serdang, Mohan Kumar dan beberapa pemimpin MIC setempat dan mendapati masalah itu memerlukan perhatian segera.
“Kejadian itu berlaku pada 15 Februari lalu yang mungkin berpunca daripada serangan anai-anai kerana bangunan sekolah itu sudah berusia lebih 20 tahun.
“Mujur tidak ada murid yang cedera sewaktu siling itu pecah dan jatuh walaupun pada waktu itu mereka sedang belajar di dalam kelas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pian Hon yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah memaklumkan kejadian di sekolah itu secara bertulis kepada pemimpin-pemimpin BN Selangor, Pejabat Pembangunan Persekutuan, Jabatan Pelajaran Selangor dan agensi berkaitan.
Katanya, tindakan susulan daripada usaha yang telah diambil setakat ini akan diuruskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment