KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Mesyuarat di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada 27 Februari ini diharapkan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi.
Penasihat persatuan kebajikan itu, Ramli Ismail berkata, pihaknya sangat berharap DBKL akan lebih telus dalam menjelaskan apa yang sebenarnya dirancang di tapak pasar berkenaan.
Menurutnya, ini kerana pihaknya tidak jelas dengan tujuan sebenar mesyuarat itu dan hanya mengetahui bahawa nama mesyuarat tersebut ialah ‘Mesyuarat Cadangan Pembangunan Semula Pasar Besar TTDI dan Stesen MyRapid Transit (MRT)’.
“Pada 16 Februari lalu, kita telah menerima surat jemputan untuk mesyuarat tersebut yang akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.
“Surat yang diterima daripada pihak DBKL itu tidak mempunyai agenda mesyuarat yang khusus menyebabkan kami semua tidak tahu motif sebenar mesyuarat tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pasar itu di sini semalam.
Ramli berkata, memandangkan peniaga tidak mengetahui agenda atau perkara yang akan dibincangkan kelak, jadi mereka semua hanya akan hadir untuk mendengar apa yang mahu disampaikan oleh Datuk Bandar tanpa membuat apa-apa persediaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas tahu mengenai cadangan membangunkan pasar itu sebagai hab MRT, pihaknya telah pergi sendiri ke Pusat Maklumat MRT untuk melihat pelan pembinaan hab tersebut.
“Kami dimaklumkan bahawa laluan projek stesen MRT itu tidak melalui langsung kawasan pasar ini dan laluannya juga jauh dari sini.
“Oleh itu, alasan untuk merobohkan pasar ini bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen MRT tersebut adalah tidak wajar sama sekali kerana kami tidak membuat kacau pun,” ujarnya.
Dalam pada itu itu, Pengerusi persatuan itu, Jenny Loo berkata, pihak persatuan sepakat tidak akan berpindah dari pasar ini ke tempat lain.
“Pasar ini sudah moden serta banyak memberi manfaat kepada masyarakat sekitar. Jadi kami dari awal lagi sudah bertegas tidak akan pergi dari sini,” jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment