My Add

Thursday 23 February 2012

Banyak jalan di Morib rosak

JALAN ke Pantai Kelanang juga tidak terkecuali daripada rosak teruk dan tidak dibaiki walaupun kawasan itu kini semakin popular sebagai destinasi perkelahan.

Oleh RASMI ABDULLAH

KUALA LANGAT, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Semakin banyak jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di sini kini mengalami kerosakan teruk sehingga mengundang keresahan kepada para pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 10 jalan di kawasan tersebut rosak teruk terutama berlubang, berlopak, mendap dan tidak rata sehingga pengguna bimbang untuk melaluinya khususnya pada waktu malam.

Antara jalan yang rosak ialah Jalan Sempadan Kanchong Darat, Kampung Sungai Lang Baru, Kampung Tali Air, Kampung Serdang Belah, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Kampung Tongkah dan Kampung Pulau Banting.

Walaupun kerosakan itu sudah lama terjadi tetapi setakat ini ia masih dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang kerja-kerja pembaikan atau penyelenggaraan oleh pihak yang berkenaan.

Jika terdapat kerja pembaikan sekali pun, ia dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga kerana tidak lama selepas kerja penyelenggaraan dilaksanakan, jalan berkenaan kembali berlubang dan rosak.

Seorang pengguna, Saiful Hakim, 30, berkata, kerosakan pada jalan di sekitar Morib kini semakin teruk sehingga mengundang bahaya kepada para pengguna.

“Persoalannya ialah mengapa pihak yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan tidak menyelenggara jalan tersebut. Apakah ia disebabkan tidak peruntukan disediakan oleh kerajaan.

“Masalah kerosakan jalan ini telah menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengguna jalan raya, boleh merosakkan kenderaan serta membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi pengguna, Azlina Mat Ayob berkata, keadaan menjadi lebih buruk jika hujan kerana air akan bertakung di kawasan yang rosak itu dan pengguna tidak tahu terdapat lubang di jalan tersebut.

“Kalau termasuk ke dalam lubang atau lopak, ia tentunya akan mendedahkan pengguna terutama penunggang motosikal kepada kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa supaya membaiki jalan-jalan tersebut atau lebih baik lagi menurap semula semuanya demi kebaikan semua pihak.

“Kasihanilah kami yang terpaksa membelanjakan wang yang lebih kerana kenderaan sering mengalami kerosakan akibat jalan yang teruk di kawasan ini,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment