My Add

Sunday 12 February 2012

Bantuan KPDNKK

MAHANI Tan Abdullah (tengah) menyampaikan bantuan makanan kepada Ghazali Hassan (kanan) dalam Program Khidmat Masyarakat KPDNKK di Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL 

PULAU PINANG, SABTU, 11 Februari, 2012: Pendapatannya sebagai pembantu kedai di Batu Feringghi di sini sebanyak RM700 sebulan tidak cukup untuk menyara lima anak, termasuk yang masih bersekolah serta perbelanjaan rawatan isterinya di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Namun, kunjungan lebih 50 sukarelawan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ke rumahnya di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang di sini membuatkan Ghazali Hassan, 52, cukup teruja dan bersyukur.

Menurut Ghazali, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa rombongan sukarelawan itu mengadakan program khidmat masyarakat di kawasan tersebut dan memilih untuk mengadakan gotong-royong di rumahnya termasuk membaik pulih kerosakan beberapa bahagian rumah.

"Saya amat bersyukur dengan bantuan dan tenaga yang dihulurkan oleh sukarelawan terlibat dan tidak menyangka mereka akan memilih rumah saya untuk mengadakan program itu, termasuk menggantikan bumbung dan dinding rumah yang rosak.

"Sebagai pembantu dapur di kedai makan, pendapatan saya memang tidak cukup untuk menyara lima anak dan isteri yang dirawat di HPP," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan sebanyak RM10,000 dalam bentuk bahan binaan, makanan dan perabot yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Konsumerisme dan Pengurusan kementerian, Datin Mahani Tan Abdullah.

Antara agensi yang terlibat dalam program khidmat masyarakat itu ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Perbadanan Nasional Bhd., Maktab Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Sementara itu, Mahani berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah Ghazali dijangka siap dalam masa empat hari dan beberapa tukang rumah telah dipertanggungjawab membaiki dinding serta menggantikan tiang dan bumbung rumah yang rosak.

Tambahnya, mereka juga berharap dengan bantuan barang makanan dan perabot yang diberikan kepada keluarga Ghazali itu, ia akan menceriakan mereka sekeluarga.

Selain itu jelasnya, acara gotong -royong itu merupakan program khidmat masyarakat bersepadu yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini dan Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang dikunjungi.

"Program ini adalah kesinambungan program yang dijalankan secara berasingan oleh agensi-agensi dan membantu memberi pendedahan kepada peserta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan betul.

"Selain itu ia juga dapat membantu mencari dan mengenal pasti isu-isu setempat yang berkaitan dengan kepenggunaan dan ekonomi dalam negeri," katanya pada sidang akhbar selepas program tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment