My Add

Sunday 26 February 2012

Tempoh sebulan untuk Puteri UMNO daftar jadi pemilih

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

ARAU 25, SABTU, Februari, 2012: Puteri UMNO memberi tempoh sebulan kepada ketua-ketuanya di peringkat negeri untuk melaksanakan pendaftaran pemilih di kalangan ahli pergerakan itu yang berusia 21 tahun ke atas, tetapi masih belum berbuat demikian sehingga kini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, proses itu perlu bagi menguatkan sokongan terhadap parti dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

"Berdasarkan tahun lalu, daripada 70,000 ahli yang belum mendaftar pemilih, kita (puteri UMNO) berjaya mengurangkannya. Kini hanya 30 peratus sahaja yang belum berbuat demikian.

"Jadi, kami mahu 30 peratus ini segera didaftarkan dalam tempoh sebulan ini kerana layak berdasarkan umur 21 tahun ke atas," kata beliau selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO Perlis di Dewan Sri Semarak Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO Perlis, Asmaiza Ahmad yang juga Exco pergerakan itu.

Menurut Rosnah, Puteri UMNO kini mempunyai seramai 390,000 ahli di seluruh negara.

"Di Perlis, Puteri UMNO mempunyai 8,223 ahli dengan 8,071 layak mengundi, tetapi daripada jumlah itu hanya 1,492 ahli belum berbuat demikian dan saya telah minta supaya ia (daftar pemilih) disegerakan," tambah beliau.

Mengenai PRU13, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, pihaknya akan menjalankan program di seluruh negara secara agresif termasuk menggunakan pendekatan maya untuk menghadapi pembangkang.

"Ini termasuk melalui penulisan blog dan penggunaan laman sosial Facebook bagi menyampaikan maklumat atau menghadapi serangan pembangkang," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment