My Add

Thursday 23 February 2012

CUEPACS tuntut gaji RM700-RM2,500 bagi gred 1 hingga 54

PUTRAJAYA, RABU, 22 Februari, 2012: : Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 
kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500). 

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah 
RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini hari ini. 

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan 
selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan 
gred. 

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar 
tunggakan sebanyak RM500," katanya. 

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji. 

"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah 
lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji. 

"Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa 
berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya. 


Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang 
di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam 
SBPA. 

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai 
rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya. 

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan 
jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan 
gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan 
disalurkan kepada gred bawahan. 

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu 
ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment