My Add

Thursday 23 February 2012

Polis tubuh pasukan khas banteras bookie bola sepak

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Polis menubuhkan pasukan khas di setiap negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membanteras aktiviti 'bookie' bola sepak yang semakin berleluasa. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata kerjasama dengan badan induk bola sepak negara itu perlu kerana FAM lebih memahami tindak tanduk serta prestasi pemain bola sepak.

"Malahan FAM mampu memantau dengan lebih telus sekiranya terdapat pemain yang mempunyai cara hidup lebih mewah daripada sepatutnya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gejala rasuah dalam bola sepak negara apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Perlis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah membabitkan pasukan itu yang kalah 2-7 di tangan MP Muar pada 9 Januari lalu. 

Abdul Jalil berkata, FAM yang juga panel Jawatankuasa Rasuah dan Disiplin SPRM, dapat memberikan polis lebih maklumat terperinci mengenai kegiatan bookie daripada terus menjadi penyakit dalam industri sukan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment