KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengannya, jika Ketua Pembangkang itu terlalu kemaruk untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, Anwar yang dibelenggu dengan masalah moral tidak layak untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara itu, katanya, hanya membuang masa pemimpin nombor satu negara dan memberi laluan kepada Anwar mendapat publisiti murahan.
"Biar Anwar berdebar dengan saya. Itu baru dipanggil Anwar dan Ibrahim, lagi serasi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pembangkang yang mahu Najib berdebat dengan Anwar seperti Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Sabtu lalu.
Ibrahim meminta Anwar untuk tampil membersihkan dirinya sebelum mengajak mana-mana pihak untuk berdebat.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Lepasan Ijazah) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan perdebatan itu hanya helah Anwar untuk terus mencari dan menyerang kerajaan serta kepimpinan Barisan Nasional.
Katanya, perdebatan yang baik adalah perdebatan yang menunjukkan tahap kematangan berhubung sesuatu isu.
"Dalam hal ini saya tidak melihat kematangan itu, ia lebih kepada perbezaan pandangan dan kumpulan sasaran," ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk R. S. Thanenthiran pula menyifatkan Ketua Pembangkang yang sudah kekeringan publisiti itu kini sudah gelabah.
Menurutnya, kalau benar Anwar ikhlas untuk berdebat, dia seharusnya berdebat dengan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim atau Ahli Parlimen Padang Serai, N . Gobalakrishnan yang pernah keluar parti pimpinan beliau.
Beliau yakin, perdebatan itu bakal mendedahkan gambaran sebenar diri Anwar kepada rakyat. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment