My Add

Friday 10 February 2012

Jejantas jadi perhiasan

JEJANTAS yang menghubungkan flat Sri Pulau Pinang dan Sri Sabah di Cheras, Kuala Lumpur tidak digunakan oleh penduduk setelah lifnya tidak berfungsi.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Pada satu ketika, penduduk flat Sri Pulau Pinang dan flat Sri Sabah di Cheras berasa bangga kerana mereka mendapat jejantas moden yang menghubungkan kedua-dua Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Apatah lagi kemudahan itu dilengkapi lif – yang belum terdapat pada jejantas lain, hatta di tengah ibu negara sekali pun.

Jejantas itu memudahkan penduduk kedua-dua perumahan bertingkat itu untuk menyeberang Jalan Loke Yew dan Jalan Ikan Emas yang sibuk bagi menjalankan urusan harian di destinasi pilihan.

Namun, kemudahan yang disediakan dengan harga yang sudah tentunya mahal itu kini ibarat gajah putih atau perhiasan sahaja. Tidak ramai yang menggunakannya, apatah lagi setelah lifnya rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia ke jejantas itu baru-baru ini mendapati, jejantas tersebut jarang digunakan oleh penduduk sekitar dan keadaannya kelihatan tidak terurus.

Di kawasan tangga dipenuhi dengan sampah, termasuk botol minuman keras, penutup botol dan serpihan kaca. Ini menyebabkan penduduk kedua-dua flat itu tidak berani untuk menggunakan jejantas itu kerana keadaan jejantas itu memberi gambaran yang menakutkan mereka.

Lifnya pula tidak boleh digunakan. Adalah jelas kabel-kabel lif dan lampu telah hilang, yang dipercayai penduduk sekitar adalah angkara penagih dadah.

Seorang peniaga nasi ayam, Khalid Tahar, 50, berkata lif pada jejantas itu sudah lama tidak berfungsi dan tidak dijaga semenjak ia diserahkan kepada DBKL oleh pemaju.

Katanya, pada awalnya ada pengawal keselamatan yang menjaga jejantas itu, tapi kini sudah tiada lagi.

“Projek ini sememangnya membazir sahaja kerana tiada orang yang menggunakan jejantas ini. Ini kerana jejantas tersebut terlalu tinggi dan lif juga tidak berfungsi.

“Sepatutnya, pihak DBKL harus menjaga jejantas itu dengan baik supaya orang ramai dapat menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, seorang penyelia syarikat swasta, Habib Tahar, 51, berkata, jejantas itu bukan sahaja membazir malah tidak memberi faedah kepada penduduk.

“Pelajar sekolah pun tidak menggunakan jejantas ini dan menggunakan jalan di bawah kerana lebih dekat.

“Lif ini sudah setahun terbiar begitu sahaja. Jika ia disenggara dengan baik, mungkin akan lebih ramai orang yang akan menggunakannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga kedai makan, Yow Ching Yen, 76, pula menggesa DBKL menjaga jejantas itu dengan baik supaya penduduk dapat menggunakan kemudahan tersebut.

“Walaupun sudah setahun siap tapi masih tidak dapat digunakan. Ia memang tidak memberi faedah dan membazir sahaja,” jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment