My Add

Sunday 19 February 2012

Pensyarah Politeknik menang hadiah utama Kuiz Bicara Haji

SYED Saleh Abdul Rahman (lima dari kanan) dan Aziz Ishak (lima dari kiri) bersama para pemenang Kuiz Bicara Haji Musim 1432 Hijrah bergambar bersama pada Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Bicara Haji Musim 1432 Hijrah di Dewan Besar Tabung Haji, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Yasmin Yazid (empat dari kiri) dan Nik Aziah Hamzah (empat dari kanan).

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Seorang Pensyarah Kejuruteraan Elektrikal Politeknik Seberang Perai, Mohd. Amini Ahamad Sayuti, 32, muncul pemenang utama Kuiz Bicara Haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dan Utusan Malaysia sempena musim haji tahun lalu.

Kemenangan tersebut melayakkan pembaca setia akhbar Utusan Malaysia berasal dari Pulau Indah, Selangor itu menunaikan umrah tajaan TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) yang bernilai RM6,000.

Turut memenangi pakej umrah yang juga bernilai RM6,000 itu ialah operator Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong, Zulkarnain Safiei, 43, dari Bentong, Pahang.

Kedua-dua pemenang tersebut telah mengikuti 12 artikel dan soalan sejak 13 hingga 30 September tahun lalu dan mereka berjaya menjawab kesemua soalan dengan tepat berserta slogan yang menarik.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Datuk Syed Saleh Abdul Rahman berkata, sebanyak 1,006 penyertaan diterima oleh pihaknya dan 199 daripadanya telah dijawab dengan tepat.

Kata beliau, daripada kesemua yang menjawab dengan betul, juri telah memilih 12 pemenang yang bertuah berpandukan slogan yang kreatif.

"Selain dua peserta yang memenangi hadiah utama, 10 peserta lagi memenangi hadiah saguhati dengan masing-masing menerima satu set cakera padat digital (DVD) ibadah haji serta langganan percuma selama setahun majalah Anis dan Asuh tajaan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. bernilai RM350.

"Objektif kuiz ini untuk memupuk minat bakal haji dan juga pembaca akhbar Utusan Malaysia untuk mendalami ilmu serta hukum hakam berkaitan dengan ibadah haji,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Kuiz Bicara Haji di sini hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Yasmin Yazid dan Ahli Lembaga Pengarah Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Nik Aziah Hamzah.

Mohd. Amini ketika ditemui berkata, kemenangan itu bukan sahaja memberi peluang kepadanya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bahkan memberi beliau satu semangat untuk terus mendalami ilmu ibadah haji.

"Saya berterima kasih kepada isteri yang banyak membantu saya menjawab soalan dan menghasilkan slogan yang saya juga merasakan menarik serta luar biasa. Alhamdullilah tidak sangka saya dapat ke Mekah dalam masa terdekat ini,'' katanya.

Sementara itu bagi Zulkarnain pula, beliau sememangnya tidak pernah tertinggal untuk mengikuti setiap peraduan yang dianjurkan oleh Utusan Malaysia kerana melalui penyertaan seumpama itu sekali gus dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan untuknya.

Utusan Malaysia dengan kerjasama TH telah menyiarkan sebanyak 12 artikel bicara haji selama dua minggu berturut-turut pada September tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment