My Add

Saturday 11 February 2012

Keluarga miskin akan diusir gagal bayar sewa rumah

RAHMATUNISA Jeelani menyusukan anak bongsunya sambil diperhatikan oleh Muhammad Nor (dua dari kanan) dan dua lagi anaknya di sebuah rumah pangsapuri di Sungai Pinang, semalam.

PULAU PINANG, SABTU, 11 Februari, 2012: 'Bagai kaca terhempas di batu'. Itulah nasib keluarga Rahmatunisa Jeelani, 33, yang tinggal di Sungai Pinang di sini apabila menunggu hari sahaja untuk diusir keluar dari rumah sewanya itu ekoran sewa yang telah tertunggak hampir enam bulan.

Dia yang tinggal bersama suaminya, Muhammad Nor Abdullah, 33, serta empat anak iaitu Muhammad Saiful Rahman, 15, Fazrin Huzaini, 13, Muhammad Nur Syaaban, 8, dan Muhammad Shah Rizal, 2, kini amat bimbang apabila memikirkan tempat tinggal mereka jika diminta keluar daripada rumah tersebut.

Mereka bukan sahaja tidak mempunyai jaminan tempat tinggal, malah sejak dua tahun lalu seringkali terputus bekalan makanan setiap bulan.

Menurut Rahmatunisa, dia juga pernah berjumpa dengan salah seorang wakil kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP bagi meluahkan masalah yang dihadapinya namun tiada sebarang jawapan atau bantuan yang diberikan.

"Saya tidak tahu ke mana lagi untuk meminta pertolongan kerana kerajaan negeri pun seolah-olah lepas tangan sedangkan saya ada memohon rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana tidak mampu membayar sewa rumah tetapi tidak mendapat perhatian," katanya ketika ditemui di Sungai Pinang di sini, semalam.

Katanya, dia terpaksa meminta bantuan dengan Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) selepas berputus asa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak memandang serius mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya dapat maklumat daripada kawan yang memberitahu GPMS dapat membantu menyelesaikan masalah kami dan saya nekad undi yang diberikan kepada kerajaan DAP pada pilihan raya umum 2008 tidak akan saya ulangi," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pencuci bangunan di sebuah bank turut berasa hiba apabila anaknya Muhammad Saiful Rahman tidak dapat meneruskan persekolahan sejak tingkatan dua disebabkan masalah kewangan.

"Pendapatan saya hanya RM500 sebulan dan terpaksa menanggung semua perbelanjaan rumah kerana suami hanya bekerja sebagai pembantu gerai dengan pendapatan RM10 sehari," ujarnya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh memberi sumbangan melalui akaun Maybank iaitu 157438005571 atas nama Rahmatunisa Jeelani.

Pengarah GPMS, Wan Norazman Arifin yang dimaklumkan tentang keluarga tersebut turut menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Katanya, beliau telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pusat Urus Zakat (PUZ) bagi membantu keluarga itu.

Norazman berkata, pihaknya akan mendaftarkan semula Muhammad Saiful Rahman yang tidak berpeluang ke sekolah seperti orang lain dan akan membuat permohonan bagi keluarga itu mendapatkan rumah PPRT.

"Saya minta kerajaan negeri membuat lawatan terutamanya bagi melihat nasib rakyat yang masih memerlukan bantuan dan mereka jangan setakat melawat rakyat ketika mahu meraih undi pada pilihan raya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment