My Add

Wednesday 1 February 2012

Kenyataan Anwar gambaran awal dasar luar jika jadi PM

SHAH ALAM, RABU, 01 Februari, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mempertahankan Israel sudah memberi gambaran awal dasar luar negara jika Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri.

"Saya fikir daripada apa yang terlontar sekarang jelas (memberi) gambaran awal apa yang akan berlaku dan nauzubillah...,” katanya ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap dasar luar negara jika Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan motorsikal roda tiga berkuasa 998 sentimer padu Can-Am Spyder dipasang dan diedarkan di negara ini oleh USF-HICOM (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM, di sini hari ini.

Mengenai beberapa pihak yang mempertahankan bahawa kenyataan Ketua Pembangkang itu selaras dengan Inisiatif Keamanan Arab yang mahukan Israel dan Palestin memiliki negara masing-masing, Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak pernah mengiktiraf saranan sedemikian.

"Pendirian Kerajaan Malaysia ialah Israel mesti mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang selamat bukan sebaliknya dan yang kita perjuangkan selama ini sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bersama-sama 132 negara mengiktiraf Palestin dan pendirian Anwar dalam isu Palestin-Israel itu adalah pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti pakatan.

"Ini yang sebenar diperjuangkan beliau dan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat.
Apabila mereka berada di negara Islam seolah-olah mereka pejuang Islam tetapi bila berada di negara Barat mempertahankan pula Israel.

"Inilah pendirian berubah-rubah kerana cuba mengambil hati semua orang dan akhirnya terperangkap,” kata Ahmad Zahid. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment