KUALA TERENGGANU, RABU, 01 Februari, 2012: Kerajaan negeri Terengganu hari ini menafikan nilai peralatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang dicuri sebanyak RM50 juta sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ini kerana taksiran sebenar nilai barang-barang yang hilang sedang dibuat oleh pihak JKR.
"Kerugian saya rasa lebih rendah daripada yang dilaporkan. Macam mana mereka dapat RM50 juta, siapa yang berikan angka itu," katanya di sini hari ini.
Semalam akhbar itu melaporkan, peralatan pendawaian elektrik, sistem elektronik dan pelbagai lagi termasuk dua set janakuasa di SSMZA yang semuanya bernilai RM50 juta lesap dilarikan pencuri sejak stadium itu ditutup dua tahun lalu selepas sebahagian bumbungnya runtuh.
Ahmad berkata, sebenarnya perkara itu sekarang ini dalam tindakan dan
siasatan pihak polis.
Beliau berkata, sepatutnya kejadian itu tidak berlaku kerana pengawal-pengawal keselamatan telah ditempatkan di SSMZA.
"Tidak tahulah...takut harapkan pagar, pagar makan padi," katanya
Ahmad berkata kemungkinan juga pengawal tidak menjalankan tugasnya dengan sempurna menyebabkan pencuri dapat masuk dan mengambil peralatan yang ada di stadium itu.
Katanya lagi, kerajaan negeri sekarang dalam proses menukar syarikat pengawal keselamatan di stadium itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment