My Add

Thursday 2 February 2012

Peniaga Melayu tolak kedai ditawar i-City

SHAH ALAM, KHAMIS, O2 Februari, 2012: Kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu mainan LED di i-City di sini memutuskan untuk menolak tawaran tiga lot kedai yang bakal disewakan pihak pengurusan destinasi pelancongan itu kepada mereka.

Ketua Biro Keselamatan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Mohd. Ali Khan Amir Khan berkata, keputusan itu dibuat selepas kesemua peniaga itu mendapati lokasi tiga lot kedai yang ditawarkan pihak i-City itu tidak strategik.

Menurut beliau, keadaan itu akan menyebabkan barang jualan peniaga tersebut tidak laku sekali gus berkemungkinan menghadapi risiko kerugian sedangkan mereka terpaksa membayar sewa yang tinggi.

"Mereka mahu pihak i-City mempertimbangkan agar lokasi tiga lot kedai itu diubah ke tempat yang lebih strategik agar dapat menarik pembeli sekali gus membolehkan perniagaan mereka boleh hidup di destinasi pelancongan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd. Ali Khan berkata, pihaknya akan menemui para peniaga terlibat untuk berbincang sebelum menyampaikan keputusan dan permintaan mereka kepada pihak pengurusan i-City.

"Kita berharap agar masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera agar para peniaga terlibat dapat memulakan perniagaan mereka semula," katanya.

Jumaat lalu, kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu lampu mainan LED hari ini berkumpul di kawasan i-City bagi membantah keputusan pihak pengurusan destinasi pelancongan itu yang tidak membenarkan mereka berniaga di situ.

Mereka juga meminta agar pihak pengurusan i-City memberikan tapak perniagaan dan sanggup membayar sewa agar mereka boleh berniaga secara sah kerana pihak i-City menganggap mereka sebagai peniaga haram.

Permintaan kira-kira 30 peniaga Melayu itu akhirnya tercapai apabila Ketua Pegawai Eksekutif i-City, Datuk Eu Hong Chew kelmarin mengumumkan penawaran tiga lot kedai kepada mereka dengan bayaran sewa mengikut harga semasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment