My Add

Wednesday, 8 February 2012

Muzium Negara tetap jadi pilihan ramai pada hari cuti

KUALA LUMPUR, TABU, 08 Februari, 2012: Muzium Negara tetap menjadi pilihan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga bersempena dengan cuti Thaipusam yang disambut penganut Hindu semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Muzium Negara hari ini mendapati orang ramai yang berkunjung kelihatan ceria berikutan keunikan yang ditampilkan oleh muzium tersebut menambat hati mereka.

Pemandu teksi, Taslam Abdul Manap, 50, berkata, keadaan muzium tersebut sangat berbeza jika dibandingkan empat tahun lalu.

"Jika dahulu, bagi setiap cerita sejarah atau barang-barang yang dipamerkan tiada penerangan yang diberikan, tetapi kini ada pula pegawai yang memberikan penerangan kepada orang ramai yang berkunjung dan ia sesuatu yang bagus dan unik bagi saya.

"Selain itu pameran khazanah kapal karam yang berakhir Januari lalu juga dilihat satu pameran yang luar biasa kerana sebelum ini muzium Negara tidak pernah pamerkan kapal sebegitu," katanya.

Pekerja swasta, Lehuddin Zai, 47, berkata, kemajuan teknologi yang semakin pesat membuatkan muzium tersebut dilihat semakin menarik dengan pelbagai susun atur yang lebih moden tetapi tidak membelakangkan sejarah.

"Sudah berbelas tahun saya tidak berkunjung ke Muzium Negara. Hari ini saya dan keluarga mengambil keputusan berkunjung ke sini dan ternyata banyak perubahan dapat dilihat," katanya.

Sementara itu, seorang kontraktor muda, Rizal Baharom, 35, memberitahu, bersempena dengan cuti Thaipusam ini dia dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Muzium Negara kerana telah lama merancang untuk berbuat demikian.

"Kerana kekangan masa saya dan keluarga jarang ke sini dan ini merupakan kali keempat saya berkunjung ke sini.

"Saya tidak pernah rasa jemu apabila berkunjung ke sini kerana banyak perkara yang boleh dipelajari melalui pameran yang ada di sini," katanya.

Noraini Rosman, 40, dari Batang Kali, Selangor pula berkata, cuti yang diperoleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori digunakan sepenuhnya untuk berkunjung ke muzium tersebut.

"Ini merupakan kali pertama saya dan keluarga berkunjung ke Muzium Negara dan ternyata kunjungan ini tidak mengecewakan kerana pemandangan di sini sungguh indah dengan pelbagai pameran kereta dan sejarah Malaysia yang cukup menarik," katanya.

Manakala, Mazidah Mustaffa, 46, dari Kajang berkata, Muzium Negara merupakan antara destinasi wajib perlu dikunjungi jika cuti umum.

"Kerana saya lihat dengan mengunjungi muzium bukan sahaja menambah pengetahuan diri dan anak-anak tetapi ia juga merupakan destinasi yang sangat sesuai untuk beriadah bersama keluarga," kata ibu kepada tujuh anak itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment