KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februri, 2012: Nilai bersama yang merujuk kepada prinsip yang didukung oleh semua budaya dan agama merupakan elemen penting dalam pembentukan identiti Malaysia, kata Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar.
\Dr. Chandra yang juga Profesor Pengajian Global Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, nilai itu penting kerana dengan persamaan ini, rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama dapat hidup bersatu padu.
Namun, beliau melihat rakyat Malaysia masih kurang menekankan nilai persamaan itu, yang boleh menjadi penghalang kepada perpaduan semua kaum.
"Nilai bersama yang termaktub dalam semua budaya dan agama di negara kita seperti pentingnya sistem kekeluargaan, hormat ibu bapa, keadilan, ehsan dan kebebasan termaktub dalam semua budaya dan agama di negara kita tapi kita jarang memberi penekanan.
"Selain itu, kalau kita kaji sukatan pelajaran sekolah, ada usaha untuk memberi sedikit penekanan pada nilai ini tapi masih tidak memadai, itulah yang harus kita tekankan," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Antara Budaya di Menara Integriti di sini hari ini.
Dialog sehari anjuran bersama Yayasan 1Malaysia dengan kerjasama Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE) itu bertujuan berkongsi dan bertukar pengetahuan tentang kepelbagaian etnik, budayaan dan agama yang terdapat di Malaysia.
Dialog yang pertama kali dianjurkan itu disertai kira-kira 200 peserta tempatan dan asing dan dirasmikan oleh Penaung PCORE Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Dr. Chandra juga berkata, institusi agama dan budaya juga harus memberi penekanan dalam nilai bersama.
"Sebagai contoh, mengapa dalam khutbah Jumaat tidak boleh dari semasa ke semasa memberi penekanan pada nilai bersama? Kita bincang tentang akhlak pemuda-pemudi dalam khutbah tapi kenapa tidak bincang nilai ini yang selaras dengan jiwa Islam yang sebenarnya termaktub juga dalam Al-Quran," katanya.
Ditanya mengenai isu politik kepartian, Dr. Chandra berkata, ini merupakan satu cabaran baru yang dihadapi kerana kesan daripadanya, perbezaan dalam masyarakat kini lebih ketara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment