My Add

Friday 24 February 2012

Pembinaan surau, masjid perlu kebenaran MAIDAM

BESUT, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bertitah semua projek pembinaan masjid atau surau di negeri ini perlu mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. 

Titah baginda, pada masa sama, pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid juga sewajarnya mendapat kelulusan MAIDAM terlebih dahulu.

Bagi tujuan pembinaan institusi masjid dan surau, ia juga perlu membuat pengisytiharan pewakafan tapak bangunan itu kepada MAIDAMbagi tujuan penyeragaman dalam pengimarahan selain mengelak pertindihan kuasa dalam menguruskan pentadbiran sesebuah masjid.

"MAIDAM sudah diberi kuasa untuk menyelaras dan mengelola segala urusan pentadbiran masjid di Terengganu. Begitu juga dengan pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid. 

"Barang siapa yang ingin membina masjid atau surau mestilah meminta kebenaran MAIDAM serta membuat pengisytiharan pewakafan tapak bangunan tersebut kepada MAIDAM mengikut peraturan yang ditetapkam di bawah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001," titah baginda. 

Sultan Mizan bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh, di sini. 

Baginda dalam rangka lawatan dua hari ke daerah itu, bermula hari ini. Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, dan pembesar serta kenamaan negeri. 
Masjid kayu itu yang siap sepenuhnya pada Julai tahun lalu menelan kos kira-kira RM12 juta mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa. 

Semasa bertitah, Sultan Mizan turut berharap agar pihak yang mengurus tadbir masjid lebih bertanggungjawab seterusnya mengelak melakukan pecah amanah sehingga menjejaskan kesucian institusi berkenaan. 

"Elakkan dari melakukan pecah amanah dan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kesucian institusi masjid. Bak kata pepatah 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'," titah baginda. 

Sebelum itu, Sultan Mizan yang diiringi Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat serta mendengar taklimat di Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja, Jerteh. 

Pada petang ini, baginda berdua juga berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama rakyat di Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah di Kampung Limbungan di sini. 

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah juga berkenan mendengar taklimat Pembangunan Daerah Besut di Pejabat di sini esok sebelum mengakhiri lawatan baginda ke daerah itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment