My Add

Friday 24 February 2012

Tiada rancangan perkenal vaksin rotavirus: Liow

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Malaysia belum mempunyai rancangan untuk memperkenalkan program suntikan vaksin bagi rotavirus, sungguhpun Kementerian Kesihatan akan memberi pertimbangan terhadap perkara itu. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, untuk mengadakan kajian berhubung program suntikan vaksin rotavirus di negara ini.

"Kami perlu melihat sama ada terdapat keperluan untuk memperkenalkannya," katanya kepada pemberita di Hospital Orang Asli di Gombak, dekat sini hari ini.
Liow diminta mengulas sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan suntikan vaksin rotavirus di hospital, susulan wabak akut gastroenteritis (AGE), yang disebabkan oleh rotavirus, di Perak baru-baru ini. 

Wabak sejak hujung Januari lalu itu menjangkiti lebih 3,000 kanak-kanak dan mengakibat dua kematian sehingga kini.

Menurut laporan, terdapat dua jenis vaksin rotavirus yang sedia ada di pasaran di negara ini. 

Liow berkata, pada masa ini, terdapat 11 jenis program vaksin bagi kanak-kanak di Malaysia. 
"Kami perlu memberi keutamaan kepada bentuk program vaksin yang akan diperkenalkan," katanya. 

Mengenai kes 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, sebuah sekolah berasrama penuh di Melaka, yang dikuarantin kerana penyakit seakan influenza (ILI), beliau berkata kementeriannya masih memantau keadaan itu. 

Katanya, pelajar terbabit didapati mempunyai simptom lemah ILI dan langkah berjaga-jaga segera diambil untuk mengekang wabak daripada merebak. 

Terdahulu, Liow menghadiri majlis penyerahan rasmi Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada Kementerian Kesihatan. 

Hospital Orang Asli di Gombak yang ditubuhkan sejak 1957 dan beberapa fasiliti kesihatan khusus bagi Orang Asli, diambil alih dan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan mulai tahun ini. 

Fasiliti tersebut ialah tiga klinik kesihatan Orang Asli iaitu di Rancangan Penyusunan Semula (RPS) Betau di Pahang, RPS Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan, dan RPS Kemar di Grik, Perak, perkhidmatan klinik bergerak, perkhidmatan pasukan pergigian bergerak dan perkhidmatan doktor udara. 

Liow berkata, sebagai menghormati hak dan tradisi Orang Asli, ciri-ciri tradisi Hospital Orang Asli seperti nama, sifat eksklusif, dan amalan 'kemasukan keluarga' akan dikekalkan. 

"Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan JAKOA untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada masyarakat Orang Asli," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment